Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa bertindak bijak dalam menangani penangguhan perlawanan Piala Malaysia susulan masalah jerebu melanda negara.

Menurut Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC) Mohd Faizal Wahid tindakan badan induk bola sepak negara itu yang menunggu sehingga saat akhir akan menyusahkan semua pihak terbabit.

“Bagi saya, FAM perlu bijak dalam membuat keputusan. Jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak mengizinkan, penangguhan perlu dimaklumkan lebih awal.

“Sekurang-kurangnya 48 jam sebelum perlawanan dan bukannya menunggu sehingga saat akhir,” katanya.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah kelmarin mengumumkan perlawanan Piala Malaysia akan ditangguhkan sekiranya IPU melebihi 150.

Pesuruhjaya perlawanan diberikan kuasa untuk membuat keputusan sama ada ia boleh dilangsungkan atau sebaliknya.

“Banyak pihak akan berdepan masalah apabila ditangguhkan pada saat akhir termasuk pasukan yang bertanding serta peminat. Ia akan memberi kesan kepada kos, masa dan sebagainya.

“Jadi jika FAM membuat keputusan lebih awal, semua perkara ini mungkin memberi kesan yang minimum,” tambahnya.

Saingan Piala Malaysia akan bersambung pada Jumaat dan Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:27 AM