KEADAAN berjerebu... Pemain Felda United, Indra Putra MAhyuddin melakukan sepakan sudut   ketika perlawanan peringkat kumpulan C TM Piala MAlaysia 2015 antara Selangor dengan Felda United di Stadium Shah Alam, 26 September lalu. FOTO Osman Adnan
KEADAAN berjerebu... Pemain Felda United, Indra Putra MAhyuddin melakukan sepakan sudut ketika perlawanan peringkat kumpulan C TM Piala MAlaysia 2015 antara Selangor dengan Felda United di Stadium Shah Alam, 26 September lalu. FOTO Osman Adnan

Kuala Lumpur: Perlawanan Piala Malaysia 2015 akan ditunda serta-merta ke tarikh baru jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada hari perlawanan di sesebuah lokasi melebihi 150.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, komisioner perlawanan diberi kuasa untuk membatalkan dan menunda mana-mana perlawanan jika keadaan semasa di venue perlawanan adalah memudaratkan kepada kedua-dua pasukan.

Keputusan berkenaan (penundaan perlawanan) dibuat selepas mengambil kira faktor keadaan jerebu yang tidak boleh diramal dan dijangka serta bacaan IPU dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar adalah berdasarkan bacaan purata di sesuatu kawasan tertentu dan bukannya menjurus spesifik di lokasi perlawanan, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Afandi yang juga Timbalan Presiden FAM berkata aksi Kumpulan C Piala Malaysia antara Selangor dan Felda United di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas, tetap diteruskan kerana bacaan IPU di Shah Alam pada hari berkenaan belum melebihi 150, yang merupakan tahap tidak sihat.

Beliau berkata, bacaan IPU di Shah Alam pada hari perlawanan itu adalah 111 pada 6 petang, 119 (7 malam) dan 128 (8 malam).

Media hari ini melaporkan, beberapa pemain pasukan Felda United dan Selangor mendakwa mengalami kesukaran untuk bernafas selain pedih mata susulan keadaan berjerebu di Stadium Shah Alam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 11:04 AM