Oleh Muhammad Apendy Issahak

Pemilik kedai tidak waras ketika bunuh

Ipoh: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, mengarahkan seorang pemilik kedai runcit berusia 57 tahun ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selepas didapati tidak waras ketika membunuh seorang lelaki dengan kapak di Kampung Simee, Ipoh pada 19 Mac 2013.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membuat keputusan itu, selepas mendapati tertuduh Puah Hock Seng membunuh Phoon Hor Sai, 68, pada tarikh berkenaan, namun berdasarkan keterangan dan laporan perubatan oleh saksi pembelaan iaitu Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Datuk Dr Suaran Singh.

Menurutnya, mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi yang mengesahkan tertuduh mempunyai masalah mental iaitu kemurungan dan tidak waras serta tidak sedar perbuatannya menyalahi undang-undang pada tarikh kejadian.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong yang menggemukakan enam saksi pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh yang hanya menggemukakan seorang saksi pembelaan.

Tertuduh didakwa mengikut Sekayen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Hor Sai yang juga abang saudaranya dengan menetak bertubi-tubi kepala mangsa menggunakan kapak pada 19 Mac tahun lalu, kira-kira jam 10 pagi di sebuah rumah di Kampung Simee, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Oktober 2014 @ 1:39 PM