Suraya Roslan


Petaling Jaya: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membenarkan permohonan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, untuk memanggil Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sebagai saksi pembelaan.

Hakim Faiz Dziyauddin membuat keputusan sepina akan dikeluarkan kepada Dr Ian Lloyd Anthony sebagai saksi pada perbicaraan yang bermula pada 28 Ogos ini.

Peguam yang mewakili Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, pihaknya membuat permohonan itu berikutan beliau adalah saksi paling tepat yang menyediakan laporan psikiatri bagi menyokong keadaan Yasin ketika kejadian.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, 10 saksi pendakwaan dijangka akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan tiga pertuduhan dadah terhadap Yasin, 48, atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman.

"Seramai lapan hingga 10 saksi akan hadir pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

"Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes dan kami mendapat arahan agar perbicaraan kes yang ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 28 dan 29 Ogos dikekalkan," katanya.

Mendengar jumlah saksi yang akan dipanggil itu, Ariff Azami turut membuat permohonan supaya satu sepina dikeluarkan terhadap Dr Ian Lloyd Anthony.

Susulan permohonan itu, Raja Zaizul Faridah memaklumkan pihak pendakwaan tiada bantahan dengan permohonan itu.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Faiz membenarkan perbicaraan selama dua hari diteruskan dan permohonan sepina untuk memanggil Dr Ian Lloyd Anthony.

Pada 6 Julai lalu, keputusan laporan psikiatri oleh Hospital Bahagia UIu Kinta mengesahkan Yasin layak dibicarakan susulan keadaan mentalnya bertambah baik serta mampu membela diri, walaupun ketika kejadian dia disahkan sebagai tidak waras.

Yasin turut disahkan menghidap penyakit kecelaruan bipolar dan hipertiroidisme.

Pada 8 Mei lalu, mahkamah sama memerintahkan Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya, selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya tertuduh diperiksa oleh pakar psikiatri.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, jam 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3), yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 12:38 PM