Suraya Roslan

Petaling Jaya: Penyanyi dan komposer, Muhamad Yasin Sulaiman, 48, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan dadah.

Bagaimanapun, Hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan penyanyi itu ditempatkan di bawah penjagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh diperkenan Sultan Selangor.

Dalam penghakimannya, Faiz berkata, mahkamah mendapati tertuduh melakukan perbuatan itu sebagaimana ketiga-tiga pertuduhan.

"Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa tertuduh dilepas dan dibebaskan atas alasan kejadian kejadian pada 24 Mac 2022 tertuduh berada dalam mental tidak waras walaupun sedar perbuatannya namun begitu gejala-gejala mania dialami pada masa itu menyebabkan kemerosotan kognitif tahap teruk sehingga tertuduh tidak mampu mengetahui perbuatan itu salah dan bertentangan daripada segi undang-undang," katanya.

Pada 23 Oktober lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas satu-satunya saksi mereka iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangan.

Muhammad Yasin diarah membela diri pada 3 Oktober lalu atas tiga kes dadah selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.

Pada 15 September lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memaklumkan menutup kes selepas selesai pemeriksaan semula terhadap pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.

Muhammad Amirul antara tujuh saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 28 Ogos lalu.

YASIN Sulaiman ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.
YASIN Sulaiman ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.

Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 2:52 PM