TELEFON pintar bertenaga dari pelbagai sudut penggunaan dengan dua slot kad SIM.
TELEFON pintar bertenaga dari pelbagai sudut penggunaan dengan dua slot kad SIM.
Oleh Husain Jahit


Memiliki reka bentuk yang anggun menyerlahkan lagi gaya si pemakai. Itulah kelebihan yang ada pada rupa bentuk telefon pintar Samsung Galaxy A8 yang dijual pada harga RM1,888.

Dikuasai dua pemproses empat teras Quad-core 1.5 GHz Cortex-A53 dan quad-core 1.0 GHz Cortex-A53, menjadikan A8 ini sebagai suatu peranti komunikasi yang amat bertenaga dari pelbagai sudut penggunaan. Diperkuat pula dengan dua slot kad SIM.

Sebagaimana biasa setiap kali mendapat peranti seperti telefon pintar ini, penguji akan mengecasnya terlebih dulu sehingga penuh walaupun kuasa baterinya ada dalam 40 peratus daripada 3050mAh.

Bukan apa, ia sekadar langkah berjaga-jaga dikhuatiri nanti tempoh membuat pelarasan seterusnya itu mengambil masa dan memakan tenaga.

Walaupun banyak model dan jenama telefon pintar diuji, sesuatu harus dipuji ke atas Samsung ialah antaramuka penggunanya (UI) sangat mesra pengguna.

Sebaik mendaftar masuk ke dalam Play Store menggunakan alamat GMail biasa digunakan untuk pelarasan, UI A8 yang beroperasi di atas platform Android 5.1.1 terus memaparkan beberapa tetapan ke atas peranti terakhir yang pernah digunakan penguji (Android saja).

Ia akan memindah turun semua yang kita simpan (backup) seperti di dalam telefon terdahulu termasuk nombor telefon, aplikasi, kalendar dan sebagainya.

Dilengkapi kamera hadapan dengan resolusi lima megapiksel (MP), ia cukup menyeronokkan untuk berselfie. Jika masuk ke dalam ciri ‘Mode’nya, ia turut disertakan pilihan mod malam. Ini bermakna kesesuaiannya untuk merakam gambar walaupun dalam keadaan cahaya rendah atau suram.

Ada juga ciri ‘Wide Selfie’ untuk membolehkan pengguna berselfie beramai-ramai atau istilah sekarang lebih dikenali sebagai ‘wefie’.

Terdapat juga fungsi ‘Continous shot’ dan ‘Interval shot’ yang biasa terdapat hanya pada kamera belakang. Ia merakam imej secara berterusan selagi jari tidak terlepas daripada butang rakam.

Selepas melancarkan fungsi kamera untuk kali pertama, satu menu dipaparkan meminta kita memilih mengaktifkan tag lokasi. Fungsi itu menyimpan data lokasi bagi setiap gambar yang kita rakam mengikut tetapan yang diselaraskan oleh sistem kedudukan global (GPS) pada telefon ini.

Kamera belakang pula diperkasa dengan resolusi imej 16MP dan bukaan F1.9 bersama fokus automatik dan lampu flash LED. Resolusi sebesar itu sudah cukup baik untuk mendapat imej tajam hingga sebesar saiz sebuah papan iklan ‘billboard’.

Resolusi rakaman imej menggunakan kamera belakang itu boleh ditetapkan saiznya daripada 2.4MP hingga 16MP dengan standard 1:1 atau 4:3 atau 16:9 untuk paparan skrin lebar. Sementara tetapan video pula ada tetapan VGA atau HD dan FHD.

Selain itu, pengguna Galaxy A8 hanya perlu klik dua kali butang ‘Home’ sebagai cara terpantas mengaktifkan kamera. Fungsi itu memastikan kita tidak terlepas saat keemasan yang biasa datang dan pergi dengan pantas.

Paparan imej dan video yang kita rakam tadi menjadi lebih menarik apabila skrin Galaxy A8 bersaiz 5.7 inci dari jenis Super AMOLED beresolusi HD Penuh 1920 x 1080 piksel.

Walaupun dilengkapi slot kad memori MicroSD untuk storan tambahan, namun penguji berpendapat kapasiti RAM hanya 2 gigabait (GB) tidak mencukupi dan akan melemahkan atau memperlahankan operasi jika sudah penuh. Selain pemproses, biasanya inilah yang membezakannya dengan model berkeupayaan lebih tinggi.

Bagaimanapun, storan dalamannya berkapasiti 32GB dikira cukup besar untuk pengguna kamera dan media sosial yang aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 5:00 AM