Oleh Afiq Hanif


LG mencuba kelainan dengan penampilan G4 yang menggunakan bahan seramik bersama kulit asli sekali gus memastikan ia benar-benar peranti elegan sesuai untuk pengguna bergaya.

Dengan rekaan anggun terbabit, LG menidakkan reka bentuk G4 daripada terlalu hampir dengan G Flex 2 ditambah pula lengkungan skrinnya tidak terlalu membulat berbandig Flex 2 yang menggunakan rekaan Slim Arc.

Ia bermakna dari sudut teori, G4 mempunyai 20 peratus lebih ketahanan berbanding G Flex 2. Malah, rekaan lengkung ini juga lebih selesa digenggam.

Skrin LG G4 sebesar 5.5 inci dengan paparan IPS Quantum yang dikatakan menghasilkan lebih 20 peratus warna, 25 peratus lebih cerah dan 50 peratus lebih kontras pada resolusi QuadHD, 2560 x 1440 piksel yang membawa kepadatan piksel 538ppi.

Dari aspek dalamannya, LG menggunakan CPU Qualcomm yang baru, Snapdragon 808 de­ngan campuran dual core 1.82 GHz Cortex-A57 dan quad-core 1.44 GHz Cortex-A53 yang me­nyokong arahan 64-bit.

Tetapi CPU ini kurang berkuasa secara teorinya jika dibandingkan dengan Snapdragon 810 yang lebih baik.

Faktor harga mungkin menjadi alasan LG untuk memilih pemprosesan terbabit berbanding Snap­dragon 810.

Bagaimanapun, salah satu kekurangan CPU ini termasuk ketiadaan sokongan RAM DDR4 jadi, LG G4 hanya bergantung kepada RAM 3GB.

Setoran dalaman LG G4 bermula dari 32GB dengan pilihan untuk menambahnya melalui kad mikroSD.

Pengguna turut ditawarkan dengan sokongan memori ‘cloud’ Google Drive sebanyak 100GB untuk kegunaan pengguna selama dua tahun secara percuma.

LG G4 boleh bertahan selama sehari dengan penggunaan biasa iaitu 20 peratus lebih lama berbanding LG G3 dengan bateri berkapasiti 3000mAh yang boleh diganti.

Pada masa sama, LG membawa kamera belakang 16MP bersama kelengkapan apertur F1.8 membolehkan lebih banyak cahaya dirakam sensor untuk menghasilkan gambar lebih cerah.

LG G4 juga dilengkapi penstabil imej OIS 2.0 yang lebih baik berbanding OIS+ sebelum ini. Aplikasi kamera boleh diaktifkan dengan pantas dengan menekan butang di belakang dua kali.

Pengguna turut berupaya menggunakan mod manual pada kamera LG G4 untuk kawalan fokus lebih baik, kelajuan penutup, ISO, pendedahan dan keseimbangan warna putih pada setiap rakaman.

Pilihan untuk menyimpan gambar dalam format RAW turut boleh dimanfaatkan dalam LG G4, selain format JPEG yang menjimatkan ruang simpanan.

Untuk gambar selfie, LG G4 mempunyai kamera depan dengan sensor 8MP. Ia disertakan dengan teknologi ‘Gesture Shot’ dari LG yang merakam gambar selfie secara terperinci.

SPESIFIKASI:

Produk: LG G4

Pengeluar: LG

Pertanyaan: LG

Laman Web: lg.com

Harga: anggaran RM3,000

Ciri: telefon lengkung

Pro: Kuasa kamera

Kontra: Harga di Malaysia mungkin mahal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 1:59 PM