Jemaah tarekat Naqsabandiyah di Padang, Indonesia, melakukan solat sunat Aidil Adha pagi tadi. - Foto daerah.sindonews.com/Istimewa
Jemaah tarekat Naqsabandiyah di Padang, Indonesia, melakukan solat sunat Aidil Adha pagi tadi. - Foto daerah.sindonews.com/Istimewa

Jakarta: Pengikut tarekat Naqsabandiyah di Indonesia menyambut Aidiladha hari ini, dengan ribuan pengikutnya di Sumatera Barat dilapor membuat sambutan dengan mengadakan solat sunat Aidiladha dan melakukan korban.

Menurut siaran berita televisyen tempatan, pengikut mengadakan solat sunat Aidiladha di Musala Baitul Makmur, di Daerah Pauh dalam Wilayah Padang.

Setiausaha Naqsabandiyah, Edizon Revindo dipetik sebagai berkata, mereka menentukan Aidiladha dengan cara melihat hilal dan hisab yang hasil perkiraannya kemudian dibawa dalam mesyuarat khas sebelum diumumkan kepada pengikut.

Beliau berkata, asas perkiraan tarikh Aidiladha ialah "selepas 100 hari tarikh 1 Ramadan, maka jatuhlah tempoh Aidiladha".

Sementara itu Jawatankuasa Kepimpinan Muhammadiyah, organisasi agama berpengaruh di Indonesia hari ini mengunjungi Presiden Joko Widodo untuk

memohon maaf kerana pengikut mereka akan menyambut Aidiladha esok iaitu sehari lebih awal daripada tarikh ditetapkan kerajaan.

Pemerintah Indonesia mengisytiharkan Aidiladha disambut pada Khamis.

Ketua Umum Muhammadiyah, Haedar Nashir berkata, pertubuhan itu turut meminta agar kerajaan menjamin hak bagi umat Islam yang merayakan Aidiladha esok, termasuk dengan memberi kelonggaran kepada mereka yang lewat masuk bekerja kerana menyambut Aidiladha. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 7:00 PM