Khaw Kok Chin (empat dari kiri) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Khaw Kok Chin (empat dari kiri) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah menerusi serbuan di kawasan Puchong Jaya, Serdang, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata turut dirampas adalah kira-kira 35 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM4.73 juta selain sepucuk pistol bersama 32 butir peluru.

"Dalam serbuan pada jam 3.15 pagi itu, pasangan kekasih berusia 32 dan 35 tahun itu ditangkap di lobi sebuah kondominium yang didiami pasangan itu sebelum dibawa ke unit kediaman mereka.

"Susulan tangkapan itu, suspek kemudian memandu arah polis ke kereta yang diparkir di tepi jalan yang mana polis menemui dadah jenis MDMA seberat 26,500 gram; ketamin (5,462.34 gram); heroin (1,377.50 gram); syabu (1,043.80 gram); pil esktasi (548.72 gram) dan Erimin 5 (2 gram).

"Kesemua dadah yang dirampas itu dianggar bernilai RM4.73 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, Khaw berkata, dadah tersebut dipercayai dipasarkan secara borong atau runcit di sekitar Lembah Klang.

Katanya, polis turut merampas pistol jenis Glock bersama kelopak berisi 15 peluru serta 17 peluru lain dan mesin dipercayai alat untuk menghasilkan dadah.

Beliau kemudian menegaskan bahawa pistol itu adalah kegunaan pasangan itu terutama dalam keadaan mendesak bagi melepaskan tembakan.

"Siasatan mendapati suspek lelaki adalah ketua sindiket dan kekasihnya akan bertindak sebagai pembantu dengan pengedaran dilakukan mereka sendiri. Jadi, mereka mengaut keuntungan bersih yang tinggi menerusi pengedaran dadah itu.

"Kita masih menyiasat daripada mana mereka memperoleh bekalan tersebut. Setakat ini, pasangan kekasih itu tiada kaitan dengan mana-mana kongsi gelap," katanya,

Mengulas lanjut, Khaw berkata, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai antara empat dan 16 rekod lampau dengan ujian saringan air kencing didapati positif Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo.

"Kita turut menyita dua kereta jenis Mercedes Benz, dua bentuk cincin serta wang tunai dengan nilai keseluruhan RM186,600.

"Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini dan kes siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 5:21 PM