KELUARGA Sabah FM menunjukkan buah durian.
KELUARGA Sabah FM menunjukkan buah durian.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Lebih 2,000 pengunjung membanjiri pekarangan Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Sabah di Kota Kinabalu bagi menyertai program Jom Makan Durian dan Buah-Buahan Tempatan, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah itu julung kali diadakan bagi mempromosi buah-buahan tempatan menerusi siaran radio Sabah FM.

Lebih menarik, 10 tan durian disediakan FAMA dengan bayaran hanya RM20 bagi setiap individu yang diberi sejam untuk menghabiskan ‘raja buah’ itu sepanjang dua hari program berlangsung.

Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid berkata, program ini bertujuan memastikan hasil titik peluh petani dan peladang di Sabah dapat dipasarkan secara terus kepada orang ramai.

Katanya, program itu menyediakan lebih enam gerai yang memasarkan pelbagai buah-buahan tempatan bagi membolehkan orang ramai menikmatinya dengan harga istimewa.

“Pengeluaran buah-buahan bermusim seperti durian, cempedak, langsat, manggis dan rambutan sekitar Julai dan September tahun ini agak banyak dan ia perlu dipasarkan segera supaya tidak berlaku lambakan di pasaran.

“Program seperti ini juga pernah kami anjurkan di Tawau bersama Tawau FM dan di Ranau,” katanya.

Ribin berkata, selain program Jom Makan Durian dan Buah-Buahan Tempatan, pihaknya turut menjemput pelajar sekolah berhampiran menyertai kempen berkenaan.

Katanya, pembabitan pelajar sekolah dalam program itu bagi menggalakkan mereka memakan buah-buah tempatan.

“Kami tiada sasaran untuk program ini kerana ia program santai untuk orang awam menikmati buah-buahan tempatan.

“Secara keseluruhannya, program dua hari ini menepati matlamat mempromosi hasil buah-buahan tempatan kerana rata-rata pengunjung berpuas hati,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Rancangan TV RTM, Malinaziah Datu Mohd Julaspi berkata, acara itu sebahagian tanggung­jawab sosial korporat (CSR) RTM Sabah menyokong kempen makan buah-buahan tempatan.

“Program mampu mendekatkan Sabah FM dengan masyarakat apabila semua penyampai radio Sabah FM memeriahkan acara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:00 AM