Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan meminda Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141) untuk memberikan kuasa kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengedar dan memasarkan komoditi ternakan dalam pasaran negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pindaan yang dicadangkan untuk dibawa ke sidang Parlimen dalam tempoh terdekat ini akan memperluaskan skop FAMA terhadap pemasaran komoditi dan produk ternakan menerusi rantaian pemasarannya.

"Buat masa ini, Akta 141 mempunyai bidang kuasa yang terhad yang mana tafsiran keluaran pertanian dalam seksyen 1A hanya memperuntukkan keluaran pertanian tertentu dan tidak termasuk komoditi ternakan.

"FAMA akan mengambil peranan untuk turut mengedarkan komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan bagi komoditi berkenaan bagi memastikan bekalan ternakan sentiasa berada di dalam pasaran serta rantaian bekalannya tidak terganggu memandangkan ketika ini tiada agensi khusus yang menjalankan aktiviti pemasaran ternakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas meninjau pelaksanaan kerja membina Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah dan sesi Penyampaian Sumbangan MAFI Prihatin bertempat di Pejabat FAMA Negeri Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah FAMA Negeri Sabah Ribin Wahid.

DATUK Seri Dr Ronald Kiandee pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan projek pembinaan Pusat Pemprosesan Buah-Buahan di Pejabat FAMA Negeri Sabah hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
DATUK Seri Dr Ronald Kiandee pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan projek pembinaan Pusat Pemprosesan Buah-Buahan di Pejabat FAMA Negeri Sabah hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah, Ronald berkata fasiliti terbabit yang dijangka siap pada bulan Ogos tahun hadapan adalah sebahagian daripada Pelan Perancangan Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA (KKIP) 2021 – 2025 menggunakan bajet daripada Pakej Rangsangan Ekonomi yang disalurkan kepada FAMA melalui MAFI berjumlah RM5 juta.

"Selain pembinaan pusat pemprosesan ini, FAMA Sabah juga menaik taraf pusat operasi Kota Kinabalu, memasang bilik sejuk, menambah stor simpanan operasi dan membangunkan Pusat Operasi (DEPOH) yang juga sebahagian daripada pelan KKIP," katanya.

Menurutnya, pusat ini dijangka mampu memproses 1,500 tan metrik durian, 288 tan metrik kelapa, 240 tan metrik nanas MD2, 960 tan metrik sayuran kobis menjelang tahun 2025 bagi pasaran tempatan dan eskport.

"Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA sebegini adalah antara usaha untuk mewujudkan satu rantaian pemasaran yang lengkap dan teratur serta sebagai kemudahan untuk usahawan tani memproses hasil keluaran mereka dan seterusnya di hantar ke Semenanjung Malaysia atau dieksport.

"Sehingga kini, FAMA telah mewujudkan sebanyak 12 pusat pemprosesan buah-buahan sejuk beku dan empat pusat memproses makanan berakreditasi Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) di seluruh negara seperti yang berada di Batu Kurau di Perak, Jerantut di Pahang, Machang di Kelantan dan lain-lain lokasi," katanya.

Menurutnya, fasiliti ini dibuka kepada mana-mana usahawan tani yang ingin bekerjasama dengan FAMA bagi penggunaan pusat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 12:58 PM