ABDUL Shukur melakukan simbolik guna alat pembelah untuk membuka durian ketika merasmikan Fiesta Buah Tempatan FAMA/AEON di AEON Alma, Pulau Pinang, bari-baru ini.
ABDUL Shukur melakukan simbolik guna alat pembelah untuk membuka durian ketika merasmikan Fiesta Buah Tempatan FAMA/AEON di AEON Alma, Pulau Pinang, bari-baru ini.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Fiesta buah-buahan tem­patan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama rangkaian pasar raya AEON, baru-baru ini membuka dimensi baru aspek pemasaran dan mengukuhkan buah-buahan tempatan.

Program tiga hari bermula 7 hingga 9 Ogos itu diadakan serentak di empat pasar raya AEON di Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Selangor, manakala pada 28 hingga 30 Ogos ini, ia dilakukan di enam pasar raya AEON di Johor, Kuala Lumpur dan sekali lagi di Selangor serta Melaka.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Abdul Shukur Idrus berkata, program itu meningkatkan permintaan terhadap buah-buahan tempatan dan memperluaskan pasaran terutama pada musim buah mulai Jun hingga September.

“Jualan buah-buahan tempatan FAMA/AEON bertujuan menggalakkan pengguna atau pengunjung membeli di samping mempromosikan keunikan, kebaikan dan kepelbagaian buah-buahan di Malaysia.

“Pengguna dapat membeli buah-buahan tempatan bermusim terus dari ladang dengan harga lebih murah,” katanya selepas merasmikan pelancaran Fiesta Buah Tempatan FAMA/AEON di AEON Alma, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah FAMA Pulau Pinang Habibah Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA Sharifah Hashim, Pengarah FAMA Wilayah Utara Mohd Radzi Mu­hamad Hanafiah dan Pengurus Besar AEON Co (M) Bhd ­(Jabatan Pengurusan Risiko, Kerugian dan Pengurusan Kualiti) Yaacob Mahmud.

Beliau berkata, usaha itu sejajar hasrat kerajaan melalui slogan ‘Lebih­kan Makan Buah-buahan Tempatan’ dan program berkenaan dapat meningkatkan pendapatan petani dan pengusaha produk berasaskan buah-buahan tempatan.

“FAMA membuat jualan terus di pasar tani, Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS), Agro Bazar, jualan di jabatan atau agensi kerajaan dan kawasan strategik.

“Buah-buahan tempatan turut dihantar ke beberapa pasar raya utama seperti AEON selain mengadakan pesta di setiap lokasi strategik di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik, anggaran pengeluaran (MT) dan jualan buah-buahan bermusim di kawasan utama seluruh negeri di Malaysia dari Januari hingga Julai lalu sebanyak RM13,765,040.70.

“Buah-buahan bermusim tahun ini bermula dari awal Jun hingga September bagi musim pertama dan Disember hingga Februari bagi musim kedua.

“FAMA akan melaksanakan program pemasaran melalui kerjasama dengan pasar raya, meningkatkan program pengeksportan durian sejuk beku dan memperluaskan aktiviti promosi dalam negara,” katanya.

Katanya, pelan tindakan FAMA bagi pemasaran buah-buahan bermusim pada tahun ini diwujudkan bertujuan untuk memperluas dan mempertingkatkan pembabitan FAMA dalam belian buah-buahan bermusim bagi membantu petani memasarkan hasil keluaran mereka.

“Di samping itu, ia bertujuan menambah ruang pasaran dan meningkatkan akses pasaran dari ladang terus kepada pengguna yang selaras hasrat kerajaan dalam mengurangkan pembabitan orang tengah di bawah program Jihad Memerangi Orang Tengah (JMOT).

“Pelan tindakan itu merangkumi empat pendekatan yang meliputi pembangunan kawasan, produk, saluran pasaran dan pembabitan belian FAMA di peringkat ladang,” katanya.

Pada 2015, FAMA menyasar pembelian buah-buahan bermusim sebanyak 10,000 metrik tan bernilai RM17.5 juta melalui 198 pusat belian di seluruh negara.

Dalam pelan tindakan program belian FAMA, sasaran belian adalah sebanyak 10,000 metrik tan bernilai RM17,454,107.

Daripada jumlah itu, komoditi durian menjadi keutamaan kepada belian FAMA apabila 6,620 metrik tan atau 66.2 peratus bernilai RM12,315,369 disasarkan bagi tahun ini diikuti komoditi rambutan 1,520 metrik tan atau 15.2 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 12:34 PM