Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Sebanyak tiga tan durian dan masing-masing satu tan manggis serta rambutan dijual setiap hari menerusi program jualan promosi buah-buahan bermusim@Pasar Segar Terkawal (PST).

Program jualan bermula kelmarin hingga pengeluaran buah berkenaan berakhir diadakan di perkarangan pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang, di sini.

Pengarah Fama Pahang, Noh Nik Wan berkata, pihaknya mendapat bekalan buah durian, rambutan dan manggis daripada pekebun di Raub dan Jerantut.

Katanya, durian dijual dengan harga RM4 sekilogram, rambutan (RM3/kg) dan manggis (RM5/kg).

"Program jualan promosi buah-buahan bermusim@ PST diadakan bertujuan membantu memasarkan hasil pertanian pada musim kali ini yang dikatakan pengeluaranya bertambah berbanding sebelum ini.

"Beberapa daerah terutama Raub, Jerantut, Bentong dan Lipis dikatakan semakin banyak mengeluarkan durian, rambutan dan manggis. Pengeluaran secara serentak itu boleh mengundang pada kejadian lambakan sekiranya Fama tidak membantu," katanya, di sini hari ini.

Noh berkata, pihaknya akan menambah jumlah durian, rambutan dan manggis sekiranya permintaan terus bertambah.

Turut dijual nangka J33 termasuk pisang jenis tanduk, berangan dan nangka yang dijual dengan harga berpatutan.

"Kita akan berusaha menambah lebih banyak lagi komoditi lain seperti buah pulasan dari Johor dan pisang abu dari Sabah.

"Musim buah kali ini diharap memberi pendapatan tambahan pada pekebun di negeri ini. Mereka boleh berhubung dengan Fama daerah sekiranya hasil pertanian mereka tidak dapat dipasarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 2:44 PM
DURIAN dijual ketika promosi buah-buahan bermusim di perkarangan pejabat Fama Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat
DURIAN dijual ketika promosi buah-buahan bermusim di perkarangan pejabat Fama Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat