MOHD Noor Awang Kechik, 84, (kiri) bersama isterinya, Zaleha Mohd Isa, 74, (berkerusi roda), diiringi anak mereka, Zainnina, 53 (tiga, kiri) dan suaminya, Dol Baharin Sulaiman, 52 (dua, kiri) menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadah haji tahun ini. Tahung Haji membenarkan Zainina sebagai pengiring untuk ibunya, manakala Dol Baharin sebagai pengiring kepada Mohd Noor. FOTO Bernama
MOHD Noor Awang Kechik, 84, (kiri) bersama isterinya, Zaleha Mohd Isa, 74, (berkerusi roda), diiringi anak mereka, Zainnina, 53 (tiga, kiri) dan suaminya, Dol Baharin Sulaiman, 52 (dua, kiri) menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadah haji tahun ini. Tahung Haji membenarkan Zainina sebagai pengiring untuk ibunya, manakala Dol Baharin sebagai pengiring kepada Mohd Noor. FOTO Bernama

Makkah: “Saya tak nak tinggalkannya sendirian, isteri saya cacat penglihatan, saya buat rayuan supaya Tabung Haji benarkan isteri saya juga dapat menjadi tetamu Allah,” kata warga emas Mohd Noor Awang Kechik, 84, yang gembira menjadi tetamu Allah bersama dengan isterinya.

Beliau amat bersyukur rayuan untuk membawa isterinya, Zaleha Mohd Isa, 74, bagi menunaikan haji tahun ini diluluskan.

Malah, katanya, TH turut menawarkan anak perempuannya, Zainina, 53, dan suaminya, Dol Baharin Sulaiman, 52, sebagai pengiring kepada mereka yang dikategorikan jemaah warga emas.

“Saya menerima tawaran menunaikan haji pada Februari lalu, saya membuat rayuan untuk Zaleha. Alhamdulillah, rayuan saya diterima,” katanya di bangunan penempatan mereka di Abraj Al-Janadriah, di sini.

Pasangan yang menetap di Machang, Kelantan itu berangkat ke Madinah pada 25 Ogos lalu, menerusi penerbangan KT22, sebelum ke Makkah pada 3 September lalu.

TH membenarkan Zainina sebagai pengiring untuk ibunya, manakala Dol Baharin sebagai pengiring kepada Mohd Noor.

Zaleha, hilang penglihatannya lapan tahun lalu berikutan mengalami jangkitan kuman pada kedua-dua matanya.

“Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan perjalanan haji kami berempat, semoga Allah terus permudahkan urusan haji kami,” kata Mohd Noor.

Sementara itu Dol Baharin, seorang penjawat awam, berkata dia kagum dengan ketabahan kedua-dua mertuanya itu.

“Ibu dan ayah mertua saya, mereka tidak pernah berhenti berdoa, Allah menjemput mereka ke Tanah Suci, dan saya dan isteri turut dijemput bersama,” katanya.

Bagi Zaleha, beliau sentiasa memanjatkan rasa syukurnya kepada Illahi: “Alhamdulillah, saya dapat juga menjadi tetamu Allah, walaupun saya buta, saya rasa saya masih dapat melihat Kaabah dengan mata hati. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 9:35 PM