Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu kenyataan di laman sosial Facebook berbaur perkauman dan menghasut orang ramai untuk menyertai perhimpunan di Bukit Bintang pada 16 September ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, ia susulan laporan yang diterima pada 4 September lalu mendakwa ada pihak menyebarkan artikel mengajak orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

"Sehingga kini, polis belum menerima sebarang notis untuk mengadakan perhimpunan itu.

"Justeru, kita beranggapan bahawa perhimpunan itu adalah satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang sekiranya ia diadakan tanpa mengikut lunas undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 11:39 PM