Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 5 November ini untuk mendengar permohonan Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom yang mencabar perlembagaan Akta Hasutan.

Timbalan Pendaftar Noor Aini Yusof menetapkan tarikh itu selepas bertemu dengan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Azmi dan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.

Pendengaran permohonan itu ditetapkan selama dua hari di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Sebelum ini, Azmi, 45, memfailkan permohonan untuk memindahkan kes hasutan yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu dibuat untuk mendapatkan perintah Mahkamah Sesyen merujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi penentuan perlembagaan Seksyen 49(1) Akta Hasutan 1948.

Pada 2 September lalu, Azmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung krisis Perak 2009.
Dia dituduh menyebut perkataan menghasut itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Jalan Hang Tuah, di sini, pada jam 12.30 tengah hari, 15 Ogos lalu.
Azmi yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan tempat yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:13 AM