Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran maklumat berbaur perkauman dan menghasut orang ramai menyertai perhimpunan Baju Merah di Bukit Bintang pada 16 September ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, penyebaran artikel menggunakan laman sosial Facebook (FB) mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu dikesan tersebar sejak 4 September lalu.

“Sehingga kini, polis belum menerima sebarang notis untuk mengadakan perhimpunan itu.

“Justeru itu polis beranggapan perhimpunan itu perhimpunan menyalahi undang-undang jika ia diadakan tanpa mengikut lunas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Zainol dalam pada itu mengingatkan orang ramai tidak terpengaruh dan menegaskan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan maklumat berbaur hasutan itu.

Menurutnya tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Difahamkan satu perhimpunan baju merah dijadualkan berlangsung di Bukit Bintang pada 16 September yang dikatakan sebagai membalas perhimpunan Bersih 4.0 diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Perhimpunan itu dikatakan bagi menunjukkan kekuatan perpaduan Melayu oleh beberapa pihak kerana Bersih 4.0 rata-ratanya disertai keturunan Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 9:27 AM