Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tiada kata putus. Zulfadli Zulkiffli dan keluarganya meminta tempoh sehingga Ahad ini untuk memberi jawapan sama ada bakal menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau tidak selepas perbincangan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail semalam.

Menurut Zulfadli, dia mahu berbincang dulu bersama keluarga terutama bapanya Zulkiffli Sidek sebelum memaklumkan semula kepada Ahmad Shapawi sama ada bersedia untuk menyertai BAM.

“Sudah semestinya saya kena berbincang dulu dengan keluarga. Apa saja perkara yang hendak dibuat, saya kena berbincang dengan keluarga dulu,” katanya ketika ditemui selepas perbincangan yang berlangsung di MSN semalam.

Jelasnya, dalam tempoh terdekat ini dia tidak berani untuk memberi sebarang komen lanjut sehingga mengadakan perbincangan bersama keluarga untuk mencapai keputusan muktamad.

“Bagaimanapun, saya ingin berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dan Datuk (Ahmad Shapawi) kerana dapat meluangkan masa serta mengambil berat mengenai saya.

“Apa yang boleh kami katakan perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan belum ada apa-apa kata putus sehingga Ahad ini,” katanya yang juga bekas juara remaja dunia 2011.

Sementara itu, Zulkiffli berkata, mereka akan mengambil peluang diberikan Ahmad Shapawi untuk berfikir dan memperhalusi setiap cadangan dan sehubungan itu tidak mahu mengulas lanjut mengenai pertemuan berkenaan semalam.

“Kami sudah berbincang dan diberi peluang membuat keputusan sehingga hujung minggu ini. Itu saja yang boleh saya cakap. Selebihnya anda boleh tanya kepada beliau (Ahmad Shapawi),” katanya yang juga jurulatih peribadi Zulfadli.

Sebelum ini Khairy, selepas Kejohanan Dunia 2015 Jakarta berkata, Zulfadli mampu untuk menjadi pengganti Datuk Lee Chong Wei tetapi dengan syarat harus menyertai BAM secepat mungkin.

Chong Wei turut sependapat dengan Khairy dan menganggap tahap permainan Zulfadli tidak akan berubah jika masih berdegil untuk tidak menyertai badan induk itu yang mempunyai banyak kemudahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 5:59 AM