Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Program khusus bagi misi layak ke Sukan Olimpik Rio yang sudah separuh jalan dilalui Zulfadli Zulkiffli mendorong bapa yang juga jurulatih peribadinya, Zulkiffli Sidek menolak cadangan merestui anaknya itu menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan Zulkiffli kepadanya kelmarin sekali gus menjawab persoalan sama ada dia mahu menyertai badan induk itu atau sebaliknya.

“Zulkiffli memaklumkan buat masa ini, beliau tidak dapat menerima cadangan itu (Zulfadli menyertai BAM).

“Beliau memohon maaf kerana Zulkiffli menegaskan ketika ini sudah mempunyai program khusus untuk Zulfadli dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016.

“Jadi untuk sementara ini, Zulkiffli berpandangan biarlah Zulfadli melalui program yang sudah disusun kerana ia sudah memasuki separuh jalan.

“Apapun, Zulkiffli menghargai pandangan dan cadangan diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) serta semua pihak termasuk media,” katanya semalam.

Shapawi berkata, MSN sememangnya berharap semua atlet negara berada di bawah program mereka termasuk Zulfadli.

“Tapi mereka sudah mempunyai keputusan sendiri. Jadi kami menghormati keputusannya itu,” katanya.

Ditanya adakah pihaknya akan membuka perbincangan lagi dengan Zulfadli selepas sudah beberapa kali juara remaja dunia 2011 itu menolak menyertai BAM, Shapawi menegaskan pintu perbincangan sentiasa terbuka.

“Tapi perbincangan lanjut lepas ini hanya akan diteruskan bersama BAM,” katanya.

Zufadli diberi tempoh hingga kelmarin oleh MSN untuk menyatakan pendiriannya sama ada mahu menyertai BAM atau sebaliknya selepas masa depannya menjadi tumpuan sebaik berakhir Kejohanan Dunia baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:35 AM