Azlan Muhammad Zain & Ferzalfie Fauzi


Sepang: Jika mahu pingat Olimpik Tokyo 2020 sertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kenyataan itu diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang seakan-akan ditujukan kepada juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli (gambar).

Menurutnya, BAM kini mempunyai program yang lebih sistematik bagi membantunya melayakkan diri ke Olimpik selain memberikan segala persiapan yang lebih baik untuk bertanding pada temasya berprestij dunia itu.

“Saya secara peribadi menyeru pemain hebat yang berada di luar untuk menyertai BAM. Pemain seperti Zulfadli, jika mahu merasai pengalaman beraksi di Olimpik, dia perlu menjadi sebahagian daripada BAM,” katanya dalam sidang media semalam

Jelasnya, program dalam BAM lebih sistematik dengan tahap kecergasan menjadi perkara paling utama untuk semua pemain.

“Saya difahamkan, bermula sekarang, pemain yang tidak melepasi ujian kecergasan tidak akan dihantar bertanding di kejohanan antarabangsa,” kata Khairy.

Zulfadli baru-baru ini menyatakan hasrat untuk cuba melayakkan diri ke Tokyo 2020 dengan sasaran sekurang-kurangnya memenangi pingat.

Dia juga sebelum ini sudah beberapa kali ‘dipujuk’ untuk menyertai BAM termasuk campur tangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) namun pemain itu kekal dengan pendirian untuk bergerak secara profesional dan meneruskan program latihan, di bawah bapanya, Zulkiffli Sidek.

“Kejayaan membawa pulang tiga perak sudah pasti mengubah jangkaan diletakkan terhadap sukan badminton dengan semua pihak pastinya mengharapkan pencapaian lebih baik selepas ini.

“BAM perlu memainkan peranan terutama dalam memastikan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya dua wakil untuk setiap acara dalam kelompok 20 terbaik dunia.

“Saya percaya BAM mempunyai pelan jangka masa panjang yang sedang dilaksanakan. Ketika MSN dengan kerjasama BAM melantik Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal BAM), KPI (Petunjuk Prestasi Utama) untuknya adalah memenangi emas di Tokyo,” katanya.

Khairy berkata, pemain badminton di Rio sudah mendahului KPI berkenaan dengan hampir membawa pulang emas pertama di Rio yang menyaksikan Malaysia mempunyai tiga wakil (perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran) di pentas akhir.

“Apa yang paling penting sekarang isu mengenai BAM hanya bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei sudah tidak timbul jika pencapaian kali ini diambil kira,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 8:07 AM