ARK Chul Hyun (kanan) bersama Presiden MATTA Hamzah Rahmat (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Heng (dua dari kiri) serta Konsul Kewangan dan Kesihatan di Kedutaan Korea Selatan Park Sang Il ketika mengumumkan aktiviti menarik di Korea Pavillion sempena MATTA Fair kali ini.
ARK Chul Hyun (kanan) bersama Presiden MATTA Hamzah Rahmat (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Heng (dua dari kiri) serta Konsul Kewangan dan Kesihatan di Kedutaan Korea Selatan Park Sang Il ketika mengumumkan aktiviti menarik di Korea Pavillion sempena MATTA Fair kali ini.
THE Painters Hero menjanjikan persembahan yang lebih mantap dengan gandingan muzik dan koreografi menarik.
THE Painters Hero menjanjikan persembahan yang lebih mantap dengan gandingan muzik dan koreografi menarik.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Empat jejaka tinggi lampai dengan baju hitam penuh calitan cat berlari dan melompat tanpa henti di segenap ruang pentas. Sambil tangan laju menghayun berus lukisan di kanvas, kaki dan seluruh tubuh pula meliuk lentok mengikut irama lagu.

Popular dengan gelaran The Painters Hero di Korea Selatan, kombo pelukis-penari ini berupaya memukau penonton dengan kemahiran mereka menghasilkan seni sambil menari.

Menampilkan elemen seni halus dan seni persembahan yang unik, tidak hairan persembahan daripada The Painters Hero ini sentiasa penuh meskipun tiket setiap slot persembahan mencecah RM180.

Selepas penampilan pertama di K-Festival Kuala Lumpur tahun lalu, pasukan The Painters Hero ini bakal kembali sempena MATTA Fair 2015 dari 4 hingga 6 September ini.

Bertempat di ruang Korea Pavillion yang dibina dalam Pusat Dagangan Dunia Putra khusus untuk festival pelancongan terbesar Malaysia itu, The Painters Hero menjanjikan aksi yang lebih mantap dengan gabungan koreografi segar.

Dibawakan Organisasi Pelancongan Korea (KTO) yang muncul antara pempamer terbesar di MATTA Fair kali ini, beberapa persembahan kebudayaan tradisional dan moden, selain pameran juga bantuan membabitkan industri pelancongan, kecantikan, kesihatan, teknologi serta makanan disediakan.

Selain itu, supermodel Malaysia, Amber Chia bakal tampil dalam pertunjukan fesyen pakaian tradisional Korea dikenali Hanbok pada hari kedua festival.

Pengunjung MATTA Fair turut berpeluang merasai pengalaman bermain ski sama seperti di pusat peranginan ski popular di Korea Selatan. Tidak ketinggalan beberapa aktiviti dan promosi menarik disediakan di semua gerai pelancongan Korea Selatan.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada ‘fanmeeting’ atau pertemuan istimewa selebriti Hallyu, Kang Gary yang bakal muncul di hari kedua.

Peminat bertuah yang membeli pakej pelancongan penuh ke Korea Selatan berpeluang mendekati dan beramah mesra bersama seorang bintang program Running Man itu.

Menurut Pengarah Urusan KTO Malaysia Park Chul Hyun, penampilan Kang Gary menjadi acara kemuncak sepanjang MATTA Fair kali ini.

“Namun objektif utamanya ialah mempromosikan pakej dan aktiviti pelancongan ke Korea Selatan yang mengalami sedikit kemerosotan disebabkan wabak MERS beberapa bulan lalu.

“Walaupun Korea Selatan sudah disahkan berjaya menangani dan bebas wabak itu, masih ada segelintir pelancong yang bimbang untuk ke Korea Selatan. Jadi di sini pengaruh K-pop dan Hallyu memainkan peranannya, di samping agensi pelancongan kami memperkenalkan pakej baru musim luruh dan dingin yang lebih menarik untuk dikunjungi pelancong Malaysia,” katanya.

Antara destinasi baru yang diperkenalkan ialah perkampungan budaya Gam­cheon di Busan dan Beomeosa di Busan, Gunung Naejangsan di Jeolla-do, Jeongseon di Gangwon-do dan ‘Jeju Self-Drive’ iaitu pengalaman memandu sendiri apabila bercuti ke Pulau Jeju.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:22 AM