MUNIE sifatkan mimpi jadi kenyataan apabila menjadi sebahagian daripada keluarga KTO Malaysia.
MUNIE sifatkan mimpi jadi kenyataan apabila menjadi sebahagian daripada keluarga KTO Malaysia.
Nor Faizah Mohamed


Sebut saja mengenai Korea Selatan, hampir 100 peratus mengaitkannya dengan K-Pop. Walaupun sudah diterangkan beberapa kali, ramai yang sukar meninggalkan gelombang Hallyu itu daripada bait percakapan hinggakan ada yang bertelagah mengenainya.

Benar, aliran K-Pop sama sekali tidak dapat diketepikan kala menyentuh topik Korea Selatan meskipun banyak lagi perkara lain yang menarik mengenai negara empat musim itu.

Persepsi itulah yang cuba diubah oleh wanita ini, seiring kerjayanya sebagai Pengurus Korea Plaza (KP) di bawah naungan Organisasi Pelancongan Korea (KTO).

Jelasnya, bukanlah ingin mengubah secara total tetapi lebih kepada memberi maklumat lanjut mengenai keistimewaan yang ditawarkan di negara Winter Sonata itu selain K-Pop.

“Tidak dinafikan ramai yang mengetahui dan meminati Korea kerana K-Pop. Tetapi percayalah, banyak lagi perkara menarik boleh diperoleh di negara itu.

“Saya amat meminati Korea Selatan. Bukan semata-mata bintang idola dan selebritinya tetapi menjangkaui kepada budaya, makanan, gaya hidup dan aktiviti harian.

“Konsepnya sama seperti orang lain yang meminati England, Perancis, Jerman dan sebagainya. Ramai dalam kalangan ‘peminat Korea’ ini lebih cenderung kepada budaya dan gaya hidup masyarakat di sana.

“Salah satu tugas saya ketika ini ialah mempromosikan setiap cabang dan semua perkara yang menarik yang ada di sana,” katanya.

Demam drama Korea di kaca televisyen tempatan beberapa tahun lalu mencetuskan minat Muniratulakmal Mohd Azaiauddin atau lebih dikenali Munie dalam kalangan teman untuk mendalami bahasanya.

“Kalau sudah mula mempelajari bahasanya, secara tidak langsung akan tertarik pula untuk mengetahui mengenai negara, budaya dan trend terkini di sana.

“Jadi saya mula ambil tahu apa yang berlaku di sana. Pada masa sama, saya kerap ke sana bagi memperbaiki bahasa Korea yang saya pelajari itu,” ujarnya yang setiap tahun berkunjung ke sana, sama ada sendirian atau bercuti bersama teman.

Ikuti temu bual seterusnya dengan wanita berasal dari Sungai Buloh, Selangor ini mengenai pengalaman karier serta hidupnya sebagai sebahagian daripada tulang belakang KTO di negara ini.

SOALAN (S): Anda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sistem Maklumat Perniagaan dari London. Justeru bagaimana boleh memilih industri pelancongan khususnya Korea sebagai karier?

JAWAPAN (J): Kalau diikutkan sejak di sekolah menengah lagi saya tertarik dengan segala-galanya mengenai Korea Selatan, daripada drama, muzik hinggalah budayanya.

Disebabkan minat itulah saya belajar bahasanya menerusi Internet bagi memudahkan saya memahami jalan cerita drama itu.

Saya kemudian mengikuti kelas bahasa Korea secara serius pada 2010 selepas menyaksikan persembahan Super Junior di Stadium Putra Bukit Jalil.

Dari situ saya terfikir untuk jadikan minat ini sebagai sesuatu yang berfaedah dan memberi manfaat iaitu dengan belajar bahasa baru.

Lagipun sebelum ini saya hanya belajar sendirian secara dalam talian dan saya sendiri kadangkala meragui keberkesanannya.

Keluarga juga menggesa saya belajar secara formal kerana dalam belajar ini kita memang memerlukan guru, tak kira apa jua bidangnya.

Selepas tamat pengajian di universiti, saya terus bekerja dalam bidang sains teknologi maklumat di tiga syarikat tempatan dengan jawatan terakhir saya sebagai jurutera perisian di XyBase Sdn Bhd.

Sepanjang bekerja itu ada juga saya lakukan kerja sambilan iaitu sebagai penterjemah bahasa Korea ke bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sesekali ada juga saya aktif dalam aktiviti kelab K-Pop dan menyertai beberapa acara yang dianjurkan KTO Malaysia.

Tidak ketinggalan saya menjadi pembantu pengajar di Korean Language House selama enam bulan, dengan pengkhususan pelajar Melayu.

Selepas lebih enam tahun bekerja dalam bidang sains teknologi maklumat itu, saya berasakan sudah tiba masanya beralih ke bidang yang saya minati.

Saya mula mencari peluang kerja di beberapa syarikat Korea Selatan sehinggalah diberitahu adanya jawatan kosong di KTO Malaysia pada hujung April lalu sebagai pengurus Korea Plaza yang menjadi hab pelancong Malaysia mendapatkan maklumat serta bantuan sebelum berkunjung ke negara itu.

Ketika bercuti di Seoul pada Mei lalu, saya menerima panggilan telefon mengatakan nama disenarai pendek. Ketika itu saya pasrah kerana tidak dapat pulang segera ke Malaysia untuk sesi temu duga.

Sudah tertulis itu rezeki saya kerana apabila kembali ke Kuala Lumpur, saya sekali lagi dipanggil untuk temu duga seterusnya diterima menjadi ahli keluarga KTO.

S: Dunia IT (teknologi maklumat) ke dunia pelancongan dan budaya sememangnya dua perkara berbeza. Bagaimana anda menyesuaikan diri dengan perubahan itu?

J: Rasa bimbang, takut dan risau itu memang ada terutama apabila saya diminta menyertai acara di KP beberapa hari sebelum saya bertugas secara rasmi.

Saya ambil masa tiga minggu untuk benar-benar sesuaikan diri dengan suasana kerja ini. Kalau diikutkan saya tidaklah mengalami kejutan budaya malah saya kagum dengan cara kerja orang Korea yang amat mementingkan ketepatan dan masa.

Mereka tidak boleh terima alasan ‘tidak’ selagi kita tidak cuba beberapa alternatif. Mereka tidak putus asa dalam memastikan sesuatu pelan itu berjaya.

Selain itu, cabaran utama saya ialah bagaimana untuk mengendalikan pengunjung KP. Bidang ini berkaitan perkhidmatan pelanggan, di mana aspek komunikasi amat penting bagi mengelakkan masalah salah faham dan sebagainya.

Secara tidak langsung ia membuatkan saya lebih tenang dan bersabar, selain pantas berfikir apabila timbul masalah dalam kalangan pengunjung KP.

Apa-apa pun saya sebenarnya lebih teruja kerana impian akhirnya jadi kenyataan. Peluang yang ada ini juga membolehkan saya tingkatkan lagi kemahiran dan kefasihan berbahasa Korea.

Sehingga kini saya masih belajar walaupun selepas enam tahun. Bagi saya proses pembelajaran tidak akan pernah tamat terutama membabitkan bahasa yang bukan daripada asal usul kita.

S: Ada yang melihat karier dalam industri pelancongan Korea Selatan ini sebagai sesuatu yang glamor dan boleh ‘berlaga bahu’ dengan bintang K-Pop. Komen anda?

J: Itulah masalahnya apabila Korea Selatan dikaitkan segalanya dengan K-Pop. Tidak dinafikan karier dalam industri pelancongan ini disifatkan glamor dan menarik kerana dapat keluar negara secara kerap.

Tetapi tanggungjawab yang perlu dibawa itu lebih tinggi dan berat bebanannya berbanding aspek glamor yang digembar-gemburkan.

Ada juga yang beranggapan kerja saya ialah semata-mata menyebarkan budaya K-Pop sedangkan skop tugas saya sama seperti pengurus pelancongan negara lain.

Saya bertanggungjawab mempromosikan Korea tapi jika dilihat pada sudut lain, ia turut mempromosikan Malaysia secara tidak langsung.

Yang penting saya tidak pernah lupa pada agama dan budaya saya. Saya gemarkan budaya dan gaya kerja Korea tetapi pada masa sama saya tidak pernah ketepikan budaya tempatan.

S: Kongsikan lebih lanjut pengalaman anda bekerja bersama syarikat atau organisasi asing seperti ini. Bagaimana penerimaan mereka terhadap warga tempatan?

J: Bekerja bersama organisasi Korea Selatan ini sememangnya menjadi impian saya sejak dulu. Apabila diterima menjadi sebahagian keluarga KTO, perkara pertama yang berubah pada diri saya ialah disiplin. Saya sendiri mementingkan disiplin, justeru saya gembira dan lega apabila mereka amat menitikberatkan hal ini.

Selain itu, mereka juga mengajar saya cara untuk berdepan orang ramai dengan ucapan yang lebih berlapik tetapi dalam dan keras maksudnya.

Mereka tidak membuat teguran melulu dan meninggikan suara hingga memalukan staf tetapi lebih kepada teguran membina dalam ton suara yang boleh diterima.

Saya juga tidak berasakan wujudnya diskriminasi di tempat kerja tambahan pula saya berhijab. Mereka lebih terbuka menerima warga tempatan malah ketua saya berbangsa Korea terkejut apabila melihatkan saya amat fleksibel dengan budaya serta cara hidup mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 2:11 PM