Oleh Baharom Bakar

Permaisuri: Bangkit dan pamerkan aksi terbaik jika mahu menjulang Piala Malaysia musim ini.

Itu pesanan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman kepada skuad Penyu dan T-Team selepas dua pasukan itu layak bersaing pada saingan trofi tertua negara.

Ahmad Razif berkata, berdasarkan aksi dipamerkan pemain pada saingan liga, kesebelasan pemain diturunkan lambat panas dan terlalu mengikut rentak pemain lawan yang cenderung ke arah melambatkan aksi.

“Berdasarkan undian, pasukan Terengganu memiliki laluan mudah muncul juara kumpulan A, tapi harapan menggenggam Piala Malaysia mungkin akan berkecai jika kesebelasan pemain mempamerkan aksi longlai.

“Jika mahu genggam Piala Malaysia musim ini, pemain perlu bangkit dan mempamerkan aksi garang sebaik wisel permulaan ditiupkan... jangan ikut rentak pemain lawan,” katanya.

Skuad Penyu bimbingan Ahmad Yusoff diundi bersama Kedah, JDT II dan LionsXII berbanding T-Team yang perlu bekerja keras kerana berada dalam Kumpulan C bersama Selangor, FELDA United dan Kelantan.

“Terengganu sudah berusaha hampir 14 tahun untuk menjuarai Piala Malaysia selepas kali terakhir muncul juara pada 2001. Jangan hampakan kerajaan negeri dan rakyat negeri ini... tahun ini sejarah perlu dicipta... ayuh bangkit. Itulah cabaran peribadi saya kepada pemain termasuk pengurusan kedua-dua pasukan.

“Saya ada menerima pelbagai kritikan, ada yang kata pemain skuad Penyu dan T-Team ibarat menggunakan minyak diesel, sebab itu pemain lewat bangkit... selepas pasukan lawan menjaringkan gol barulah pemain ‘panas’. Itu kata liar mereka di luar tetapi selepas dikaji ada betulnya dakwaan mereka.

“Jurulatih kedua-dua pasukan perlu mencari tonik terbaik supaya pemain cepat bangkit dan tidak mempamerkan aksi longlai, kesebelasan pemain juga diminta tidak terikut-ikut dengan aksi pemain lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:19 AM