Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tuah gelanggang sendiri bakal menjadi ‘senjata’ tambahan buat T-Team untuk mengejutkan Selangor manakala aksi konsisten Kedah ketika ini diyakini mampu membuatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berputih mata apabila aksi separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia bermula malam esok.

Bekas pengendali negara yang kini memegang jawatan selaku Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) B Sathianathan berkata, T-Team dan Kedah menjadi pilihannya untuk mara ke pentas final Piala Malaysia yang dijangka berlangsung penghujung bulan ini.

Enggan mengecilkan kemampuan juara bertahan iaitu Selangor yang melakar kemenangan 2-1 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam sebelum ini, cabaran di Kuala Terengganu dilihat lebih sukar dengan anak buah Rahmad Darmawan bakal mendapat ‘sentuhan pemain ke-12’ yang akan memenuhi segenap ruang lingkup Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Saya lihat kelebihan berpihak kepada pasukan T-Team di mana mereka akan mendapat sokongan padu penyokong setia Terengganu. Ini mungkin faktor tambahan buat T-Team untuk menewaskan Selangor nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

“Bukan itu saja, saya berpandangan T-Team sebenarnya memperaga aksi lebih baik berbanding Selangor. Walaupun tidak dibarisi pemain ternama, tetapi mereka berjaya bermain dengan baik sekali.

“Sudah tentunya Selangor harus mempertahankan kelebihan satu gol itu, jika tidak pasukan juara bertahan mungkin boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai aksi di antara PDRM dan Kedah di Stadium Hang Jebat, Melaka, beliau menyifatkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu lebih berkualiti daripada The Cops.

“Dengan adanya kelibat penolong ketua skuad kebangsaan Baddrol Bakhtiar, saya percaya pemain tengah itu bakal menjadi faktor penentu kepada kemaraan Kedah selain ketajaman penyerang import mereka, Thiago Augusto di jentera serangan.

“Memang diakui ia menjadi tugas sukar buat PDRM yang tewas 2-1 sebelum ini. Berdasarkan rekod dan berpengalaman pemain-pemain Kedah, saya tak nampak sebab mengapa mereka tidak boleh melepasi separuh akhir ini biarpun bermain di tempat lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 11:18 AM