GUA MUSANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan menambah bilangan anggotanya kepada 15 orang berbanding 13 anggota sebelum ini, bagi meneruskan operasi mencari tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi di sini, yang hilang sejak seminggu lalu.

Ketua operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdul Manaf Jaafar berkata, selain itu, operasi yang bermula pada 8 pagi itu turut menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, setakat 7 malam ini ketujuh-tujuh kanak-kanak itu masih belum ditemui," katanya ketika ditemui di pusat operasi pencarian itu di sini, hari ini.

Abdul Manaf berkata, operasi mencari yang turut membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung itu lebih tertumpu di kawasan 10 kampung di sekitar Pos Tohoi.

"Kita pergi ke setiap rumah penduduk Orang Asli untuk bertemu keluarga mereka dan bertanyakan mengenai murid yang hilang itu dan dalam operasi ini juga, kita mendapat kerjasama baik daripada semua kaum Orang Asli termasuk penghulu dan ketua kampung.

"Kita akan perluaskan gerakan mencari ke kawasan lebih jauh dalam masa terdekat," katanya.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli yang tinggal di asrama SK Pos Tohoi dilaporkan lari dari asrama dipercayai takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid dari Kampung Gawing dan Penat itu dikenali sebagai Mirsudiar Aluj, 11; Noreen Yaacob, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7.

Sementara itu, Sobrie Latip, 25, berkata, dia risau dengan keadaan anaknya, Sasa, yang masih belum ditemui kerana telah hilang lebih dari seminggu.

Dia berharap kesemua tujuh murid itu dapat ditemui semula dalam keadaan selamat.

"Lebih dari seminggu mereka hilang dan ia merupakan masa yang lama. Tak tahulah kami dengan nasib mereka semua... entahkan makan atau minum di dalam hutan sana," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 9:21 PM