Gua Musang: Satu laporan polis dibuat ke atas pentadbiran Sekolah Kebangsaan Tohoi, di sini, berikutan didakwa tidak mengambil tindakan wajar berhubung kehilangan tujuh murid Orang Asli sekolah itu.

Tujuh murid itu ialah Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7.

Laporan polis dibuat ibu bapa tujuh murid itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, semalam.

Semua ibu bapa mangsa kelihatan kecuali Mirsudiar diwakili Penghulu Kampung Gawen, Akek Bahir.

Ayel Ajeb, 48, bapa kepada Ika berkata, laporan dibuat menuntut polis menyiasat pentadbiran sekolah yang didakwa gagal berperanan dengan baik ketika kehilangan anaknya dan enam rakannya.

“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah yang sehingga kini belum memaklumkan apa-apa kepada ibu bapa.

“Kejadian ini pun bukan pihak sekolah yang maklumkan kepada kami. Kami mengetahui daripada penduduk kampung yang kebetulan keluar ke bandar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah mengesahkan menerima laporan terbabit.

Katanya, pihaknya belum membuka kertas siasatan berhubung laporan itu dan menumpu kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR) murid yang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 6:30 AM