ANGGOTA penyelamat  berbincang dalam operasi mencari dan menyelamat tujuh murid hilang.
ANGGOTA penyelamat berbincang dalam operasi mencari dan menyelamat tujuh murid hilang.
Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Gua Musang: Penemuan beberapa kesan tapak kaki dipercayai milik kanak-kanak di tiga lokasi berbeza dalam jarak lapan kilometer dari Pos Tohoi diyakini boleh membantu usaha mencari dan menyelamat tujuh murid Orang Asli yang hilang di dalam hutan dekat Pos Tohoi, di sini, sejak 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah yang juga Komander Operasi berkenaan berkata, kesan tapak kaki itu ditemui pasukan mencari jam 11 pagi dan dipercayai sudah lama kerana semakin terhakis.

Akhbar semalam melaporkan penemuan stoking sekolah dipercayai milik tujuh murid Orang Asli yang hilang di hutan dekat Pos Tohoi menjadi petunjuk baru kepada operasi mencari dimulakan sejak 25 Ogos lalu.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, berusia tujuh hingga 11 tahun itu hilang 11 hari sejak melarikan diri daripada asrama sekolah pada 23 Ogos.

Mereka adalah Mursudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 9:24 AM