BOATENG (kanan) kekal lagi semusim bersama Kelantan.
BOATENG (kanan) kekal lagi semusim bersama Kelantan.

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih mengekalkan George Boateng sebagai jurulatih The Red Warriors menghadpi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata, spekulasi mengenai kedatangan jurulatih baru ke Kelantan adalah tidak benar.

“KAFA memutuskan untuk mengekalkan Boateng semusim lagi dengan perancangan lebih mantap.

“Boateng akan dibantu Hashim Mustapa, Sideek Samsudin dan Ismail Chawalit Abu Bakar,” katanya dalam entri terbarunya dalam laman sosial Facebook semalam.

Sebelum ini dilaporkan masa depan Boateng menjadi tanda tanya apabila KAFA dikatakan tidak berminat untuk menyambung kontraknya dan nama seperti Mohd Azraai Khor Abdullah dan V Sundramoorthy dikhabarkan menjadi pengendali baru.

Beliau berkata, pihaknya juga masih mengekalkan Azman Ibrahim sebagai pengurus pasukan.

Sebagai rekod Kelantan menduduki tangga keenam Liga Super musim ini dengan 31 mata selain mara ke separuh akhir Piala FA.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:10 AM