TRW terus mahukan khidmat  Francisco (kanan).
TRW terus mahukan khidmat Francisco (kanan).
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan pemain pertahanan, Cassio Francisco de Jesus kekal menyarung jersi pasukan itu musim depan.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain import dari Brazil itu sudah menandatangani kontrak bersama persatuan negeri hingga 2019.

Pada aksi Piala Malaysia lalu, Cassio yang juga bekas pemain Semen Padang di Indonesia beraksi cemerlang mengemudi benteng pertahanan bersama Azwan Aripin dan Farisham Ismail membantu pasukan hingga layak ke suku akhir.

“KAFA juga perlu mengisi beberapa kekosongan posisi pemain import yang akan ditentukan ketua jurulatih untuk mengimbangi kekuatan pasukan bergandingan dengan pemain tempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengesahan Presiden KAFA itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai desas-desus Cassio dilamar pasukan dari utara tanah air musim depan.

Sementara itu, Bibi mengesahkan mereka mengekalkan hampir 90 peratus skuad yang dibarisi pemain muda.

“KAFA mengambil langkah berbelanja berhemah memandangkan kantung kewangan agak terhad.

“Oleh itu, KAFA bersetuju mengekalkan pemain sedia ada sambil menimbang hasrat beberapa pemain negeri lain yang berminat menyertai Kelantan.

“Ketua jurulatih juga belum dimuktamadkan malah rundingan bersama Yusri Che Lah belum menemui sebarang keputusan positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 3:41 PM