Kota Bharu: Kelantan perlu menjaringkan gol awal untuk mengekalkan momentum pada perlawanan pertama kempen Piala FA menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, malam ini.

Ketua jurulatih Kelantan George Boateng berkata, Sarawak lawan sukar dijinakkan kerana pasukan itu belum tewas dalam saingan Liga Super setakat ini.

“Sarawak mempamerkan corak permainan pantas dan kami sudah tahu corak permainan mereka. Kami ke sana dengan harapan mencatat kemenangan,” katanya.

Kelantan yang tewas 0-4 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kempen Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu Sabtu lalu perlukan kemenangan ke atas Sarawak bagi meningkatkan kembali semangat pemain.

Pengendali berusia 40 tahun dari Belanda itu berharap dua penyerang, Mohd Nor Farhan Muhammad dan Emmanuel Kenmogne berada pada prestasi terbaik menjaringkan gol apabila berdepan Sarawak.

“Setiap perlawanan, kita perlu menang dan kami tidak pernah menampilkan corak permainan bertahan. Saya harap Farhan dan Pacho (Emmanuel Kenmogne) mampu menjaringkan gol,” katanya.

Boateng berkata, tiada masalah di bahagian pertahanan dan beliau tidak bercadang melakukan rombakan terhadap barisan pemain.

“Barisan pertahanan kami bagus walaupun tewas kepada PDRM. Sebelum ini mereka berjaya mengekang daripada dibolosi lawan dan kami tidak mempunyai masalah di bahagian itu,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:32 AM