Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Prestasi Kelantan yang ibarat yo-yo sejak awal musim bakal berubah rentak menerusi pimpinan baru di bawah bekas jurulatih Skuad Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah (gambar).

Mohd Azraai disahkan sebagai pengendali The Red Warriors (TRW) berkuat kuasa hari ini menggantikan George Boateng yang ditukarkan jawatan kepada jurulatih kanan merangkap pengarah teknikal dan penasihat dalam merangka pembangunan jangka panjang Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Beberapa perubahan turut dibuat KAFA membabitkan tempat Hashim Mustafa yang kini Penolong Pengarah Teknikal yang juga Ketua Peninjau selain Nafuzi Zain yang menjadi jurulatih Piala Presiden.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa turut meletakkan Zahasmi Ismail dan Mohamad Sideek Samsudin sebagai pembantu jurulatih baru.

Ketika dihubungi, Mohd Azraai berbesar hati menerima tanggungjawab itu dan bersedia membawa TRW ke peringkat lebih baik, sekali gus mengembalikan kegemilangan selaku pasukan kuat dalam Liga Super.

“Pertama sekali Alhamdulillah perkara ini sudah disahkan dan saya berterima kasih kepada Tan Sri dan pengurusan KAFA atas kepercayaan ini.

“Saya akan ke Kelantan esok (hari ini) menaiki penerbangan pertama dari Pulau Pinang dan terus melapor diri serta menandatangani kontrak. Saya akan mula bekerja esok (hari ini) dan kemungkinan besar bertemu dengan pemain pada sebelah petang.

“Ini bukan tugas mudah, saya sedar itu kerana TRW pasukan yang kuat, namun saya yakin dengan pengalaman sebelum ini saya membimbing mereka lagi,” katanya di sini semalam.

Bekas jurulatih T-Team itu juga menyifatkan tidak rumit untuk mengendali pasukan Kelantan memandangkan sebahagian besar pemain sudah dikenalinya dan biasa bekerjasama.

Menyebut beberapa nama, antaranya Wan Zack Haikal dan Norhafiz Zamani Misbah, katanya yakin tidak berdepan masalah komunikasi mahupun interaksi dengan pemain.

“Zahasmi dan Mohamad Sideek juga rapat dengan saya, jadi saya tidak bimbang untuk menyesuaikan diri dengan pasukan ini, malah kami memahami satu sama lain. Mudah untuk bekerja,” katanya.

Ditanya strategi membangkitkan TRW, beliau berkata, masih terlalu awal untuk memperkatakan itu kerana perlu duduk berbincang bersama pengurusan dan pemain selain Boateng sendiri.

Sementara itu, Annuar berkata, perubahan dibuat hasil perbincangan dengan semua pihak dan terpaksa dilakukan untuk mengukuhkan TRW menjelang April.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:12 AM