POLIS mengiringi Bilal  ke Mahkamah Tentera kelmarin untuk melanjutkan tahanan reman.
POLIS mengiringi Bilal ke Mahkamah Tentera kelmarin untuk melanjutkan tahanan reman.

Bangkok: Polis hampir melengkapkan siasatan terhadap kejadian serangan bom di kuil Erawan di sini dan mungkin menamatkan siasatan menjelang minggu depan, kata ketua Polis Thailand, Jakthip Chaichinda semalam.

Jakthip berkata, beliau mungkin bertemu Ketua Polis Metropolitan, Sriwara Rangsiprammanakul minggu depan bagi memutuskan siasatan terhadap dua suspek utama, Bilal Mohammed dan Mieraili Yusufu boleh ditamatkan atau tidak.

Katanya, polis mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa kedua-dua suspek.

Sementara itu, polis masih memburu saki-baki suspek termasuk penjenayah berbaju putih dikenali sebagai Odd Payungwong.

Kata Jakthip, polis tidak memanggil mana-mana aktivis baju merah untuk disoal siasat, tetapi tidak menolak serangan itu bermotifkan politik.

Polis juga masih memburu pengebom berbaju biru dikenali sebagai Zubair Abdullah yang mencampak beg mengandungi bom di sebatang sungai di sini.

Polis menggunakan satu sistem carian khas mengesan semua suspek.

“Polis juga akan mengeluarkan beberapa waran tangkap lagi,” tambahnya.

Serangan bom di kuil Erawan pada 17 Ogos lalu menyebabkan 20 orang maut, kebanyakannya pelancong asing. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:10 AM