Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja wanita bakal mengharapkan sentuhan dan pengalaman pemain senior negara menjelang kejohanan Piala Asia Remaja Wanita 2015 di Changzhou, China, pada 5 hingga 15 September.

Menurut jurulatih Lailin Abu Hassan, seramai lima pemain senior akan memperkuatkan pasukannya untuk berdepan dengan tuan rumah, India, Singapura dan Korea Utara yang diundi dalam Kumpulan A kejohanan berkenaan.

“Pemain senior kebangsaan seperti Hanis Nadiah Onn dan Fatin Shafika Mohd Sukri adalah tunjang kekuatan pasukan ini.

“Bagaimanapun, saya juga ada membariskan pemain muda untuk mencari pengalaman dari segi permainan,” katanya di majlis memperkenalkan skuad berkenaan semalam.

Jelasnya, pemain disenaraikan bukan saja dikumpul untuk menghadapi kejohanan ini tetapi mempersiapkan diri bagi menempuh beberapa lagi perlawanan lain pada masa akan datang.

“Saya harapkan pemain utama mampu memberikan persembahan baik dan dalam masa sama mampu membimbing pemain muda. Saya juga mahu mereka memberikan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan bakal dihadapi.

“Kita juga harus memberikan tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan utama dan pemain senior yang pernah membantu skuad kebangsaan memenangi pingat emas di Sukan SEA 2015 Singapura diharapkan memberikan prestasi terbaik,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Sementara itu ketua pasukan Surizan Awang Noh berkata, ia bukan mudah apabila diundi berada dalam Kumpulan A dan mereka harus menganggap setiap perlawanan dihadapi seperti beraksi di saingan akhir.

“Dalam masa yang sama kita juga tidak boleh memperkecilkan dan pandang rendah keupayaan Singapura walaupun terdapat jurang antara kita dan mereka dari segi prestasi semasa,” katanya.

Selain Hanis, Fatin Shafika dan Surizan, skuad ini menampilkan, Noorrul Azwani Zuraiden, Nur Asmaa Ahmad Kamil, Nor Aisyah Yaakob, Nurul Safiqah Mat Isa, Wan Norfaiezah Sauiti, Nur Zafirah Aziz, Ellya Syahirah Ellias, Nur Syafiqah Mohd Zain, Nuraslinda Said, Nurain Hidayah Hasri, Nurul Shafizan Amran, Nurliyana Mohd Kip, Nur Aisyah Hashim, Nurshafiqah Ahmad Salim dan Siti Nur Afina Mat Jusoh.

Perlawanan pertama skuad yang digelar The Mighty Princess ini menentang pasukan jiran, Singapura pada 5 September.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:05 AM