Malaysia selesa mendahului 7-0. FOTO Malaysian Tigress Hockey
Malaysia selesa mendahului 7-0. FOTO Malaysian Tigress Hockey
BERNAMA

SKUAD hoki wanita negara mendahului 7-0 menentang Singapura pada Piala Asia 2017 sebelum perlawanan peringkat kumpulan itu bersambung esok di Stadium Kawasaki Green di Kakamigahara, Jepun.

Menurut kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHF), perlawanan terpaksa dihentikan hari ini ekoran hujan lebat di negara itu.

Perlawanan suku keempat akan berlangsung esok pada pukul 12 tengah hari waktu Malaysia.

Pada perlawanan hari ini, pemain pertahanan Fatin Shafika Mahd Sukri menghasilkan gol pertama menerusi jaringan padang pada minit ke-13 sebelum penyerang Surizan Awang Noh menambah gol kedua selang dua minit kemudian.

Dua penyerang Malaysian Tigress, Nuraslinda Said menambah tekanan pasukan lawan menerusi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-19 manakala Hanis Nadia Onn menambah jaringan padang pada m-25.

Pasukan negara kemudian terus selesa mendahului 5-0 hasil jaringan pertahanan tengah, Nuraini Abdul Rashid menerusi gol sudut penalti pada m-28 sebelum tamat babak pertama.

Memasuki babak ketiga perlawanan, Nuraslinda sekali lagi cemerlang dengan jaringan padang pada m-33 dan seorang lagi penyerang, Norbaini Hashim meletakkan Malaysia di hadapan dengan 7-0 hasil gol pukulan sudut penalti pada m-36.

Kelebihan jaringan itu memberi suntikan semangat kepada skuad bimbingan Dharma Raj Abdullah untuk menamatkan perlawanan esok dengan kemenangan bergaya.

Namun cabaran skuad negara lebih sukar apabila mereka perlu memenangi perlawanan menentang India Selasa ini bagi memastikan skuad meraih laluan mudah ke suku akhir kerana saingan edisi kesembilan ini mengguna pakai format €œcrossove.”

Malaysia tewas kepada China 4-5 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A semalam manakala India membelasah Singapura 10-0.

Perlawanan antara China dan India turut ditunda dan berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 9:53 PM