AKSI skuad negara ketika perlawanan menentang Singapura yang bersambung selepas dihentikan pada suku ketiga akibat hujan lebat semalam. -Foto Agensi
AKSI skuad negara ketika perlawanan menentang Singapura yang bersambung selepas dihentikan pada suku ketiga akibat hujan lebat semalam. -Foto Agensi
Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki wanita negara mengesahkan kemenangan 8-0 ke atas Singapura pada aksi kedua peringkat Kumpulan A, saingan Piala Asia yang bersambung semula hari ini, selepas dihentikan di suku ketiga semalam, berikutan hujan lebat.

Berlangsung di Stadium Green Kawasaki, Kakamigahara, Jepun, skuad negara yang selesa mendahului Singapura 7-0, semalam menambah satu gol di suku keempat hari ini, menerusi Norbaini Hashim pada minit terakhir perlawanan menerusi gol padang.

Kemenangan itu adalah yang pertama diraih oleh Malaysian Tigress pada aksi peringkat kumpulan selepas tewas tipis 4-5, kepada China pada perlawanan pertama.

Malaysia akan berdepan tugas sukar bertemu pendahulu kumpulan, India pada aksi terakhir esok untuk menentukan kedudukan dalam kumpulan, serta lawan yang akan ditemui di peringkat suku akhir.

Dalam aksi lain, India mencatat kemenangan kedua hari ini selepas menewaskan China 4-1.

“Pemain kita tiada pengalaman bermain perlawanan 15 minit. Kita agak gopoh, tak tenang dan banyak melakukan kesilapan seperti tertekan untuk mempercepatkan pergerakan.

“Selepas India menewaskan China, kami harus mencatatkan kemenangan ke atas mereka, esok.

“Kami tetap meletakkan sasaran untuk mencari kemenangan kerana setiap perlawanan adalah cukup penting dan setiap pemain perlu beraksi sebaik mungkin,” kata Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Semalam, skuad negara meledak tujuh gol menerusi Fatin Shafika Mahd Sukri pada minit ke-13, Surizan Awang Noh minit (minit ke-15) serta Nuraslinda Said dan Hanis Nadia Onn masing-masing pada minit ke-19 dan ke-25.

Tiga gol lagi disumbangkan oleh Nuraini Abdul Rashid (minit ke-28), Nuraslinda (minit ke-33) dan Norbaini (minit ke-36)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 7:35 PM