MASAK lemak ikan baung menu utama dan tarikan pelanggan di Restoran RZ.
MASAK lemak ikan baung menu utama dan tarikan pelanggan di Restoran RZ.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Buat pengggemar ikan baung, anda pasti terliur dan teruja mencuba hidangan istimewa dari Restoran RZ iaitu masak lemak ikan baung di Taman Utama Segamat, Johor.

Pemiliknya, Razali Mohamad berkata, sejak dibuka pada 1983, resipi isterinya, Rasidah Norani itu menjadi tumpuan peminat ikan baung.

“Rasanya yang pedas menjadi pilihan bagi mereka yang gemar makanan pedas kerana cili padi antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan hidangan itu.

“Rasa lemak yang seimbang dan tidak terlalu pekat itu dihasilkan daripada santan,” katanya.

Aroma masak lemak ikan baung dari Restoran RZ menggamit selera penulis kerana ia dihidangkan panas dan warnanya yang menyelerakan.

Bahan lain yang digunakan ialah bawang dan ikan baung segar.

Selain itu, udang galah masak sambal turut menjadi kegemaran ramai terutama sambalnya yang sedap.

Apabila diletak di atas meja, penulis menyangka rasanya pedas kerana warnanya yang merah, tapi sang­kaan itu meleset kerana sambal berkenaan kurang pedas sebaliknya ia mempunyai keseimbangan rasa pedas, manis dan masin.

Antara lauk lain yang sering dihidangkan bersama nasi putih di Restoran RZ adalah ikan patin masak tempoyak, ayam goreng bawang putih dan asam pedas telur ikan.

Restoran RZ mempunyai dua ruang makan iaitu ruang makan terbuka di bawah dan pelanggan boleh memilih sendiri variasi lauk yang dihidangkan manakala ruang makan tertutup dengan pendingin hawa di tingkat atas.

Waktu operasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang dan restoran itu turut menerima tempahan untuk sebarang majlis makan malam. Hubungi talian 019-7350735 untuk maklumak lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 1:00 PM