PERKENAL konsep gandingan tempatan dan Barat.
PERKENAL konsep gandingan tempatan dan Barat.
Aniza Zainudin

Hidangan nasi dulang Hang Tuah antara kelainan cuba diperkenalkan restoran Makan Heritage sempena meraikan kedatangan Ramadan, pertengahan bulan ini.

Konsep sajian berdulang ini mengambil inspirasi daripada petikan filem Laksamana Do Re Mi lakonan seniwati negara, Dayang Sulu, yang juga ibu kepada seorang pemilik.

Diusahakan tiga rakan kongsi, Mohd Fairuz Yusoff, Mohd Najib Kamaruddin dan Nasrul Iskandar Darus, idea menyajikan nasi dulang Hang Tuah ini bertujuan mengembalikan nostalgia serta menyulam semula hubungan silaturahim antara keluarga mahupun teman ketika berbuka puasa.

Menurut pengurusnya, Fizuan Izani Md Junid, menu itu mula diperkenalkan sejak Ramadan tahun lalu dan hanya 25 dulang bakal disajikan setiap hari sepanjang bulan yang penuh mubarak itu.

NASI dulang Hang Tuah bersama ikan siakap.
NASI dulang Hang Tuah bersama ikan siakap.

“Hidangan ini mengandungi nasi putih, ayam goreng berempah, terung berlada, telur masin, ulaman, sambal belacan, daging salai dan ketam masak lemak cili api atau ikan siakap goreng.

“Kita menyediakan pilihan sama ada ketam masak lemak cili api ataupun ikan siakap goreng kepada pelanggan kerana ada segelintir kurang gemar menjamu ketam dan sebaliknya.

“Istimewanya, ketam dimasak dan disajikan berasingan dengan kuah masak lemak cili api bertujuan memberi kebebasan kepada pelanggan untuk menikmatinya.

“Bagi daging salai pula, kita menggunakan daging batang pinang yang mempunyai tekstur lebih lembut dan mudah untuk dihadam.

“Nasi dulang Hang Tuah ini turut dihidangkan bersama bubur, kuih-muih, kurma dan juga minuman secara percuma,” jelasnya ketika ditemui di Kota Damansara, baru-baru ini.

PILIHAN penggemar ketam masak lemak cili api.
PILIHAN penggemar ketam masak lemak cili api.

Restoran yang berkapasiti 50 hingga 80 pelanggan dalam satu masa ini, terkenal dengan sajian berkonsepkan ‘gandingan tempatan dan Barat’ apabila menawarkan pelbagai jenis menu berbeza bagi makan tengah hari dan malam.

Menyediakan kira-kira 15 jenis lauk cita rasa tempatan ketika waktu makan tengah hari, antara menu enak yang menjadi tanda pengenalan restoran itu adalah ikan patin tempoyak bonda, daging dendeng, masak lemak siput sedut dan daging salai masak lemak cili api.

Menu ikan patin tempoyak bonda disifatkan hidangan terbaru disajikan Makan Heritage sejak dua bulan lalu.

Menerima bekalan ikan patin dan tempoyak dari Temerloh, Pahang, masakan ini mempunyai citar asa asli apabila isi ikan patin yang segar, kuah tempoyak berasa masam, manis dan tidak terlalu pedas disesuaikan dengan selera masyarakat bandar.

Menu pasta goreng mamak antara pilihan hidangan popular sepanjang hari dalam kalangan pelanggan kerana ia menggunakan pasta digabungkan bersama variasi makanan laut seperti sotong, kepah dan udang galah serta kepak ayam, salad dan keropok.

Istimewanya, pasta goreng mamak pedas ini dimasak menggunakan pes buatan sendiri hasil adunan cili kering, cili giling, lada hitam, serai, bawang merah, bawang Holland dan bawang putih.

 PASTA goreng mamak hidangan tanda pengenalan.
PASTA goreng mamak hidangan tanda pengenalan.

Bagi penggemar hidangan Barat bergril, lamb cuts au jus antara sajian disarankan kerana ia menggunakan daging premium yang lembut diimport dari New Zealand.

Menjadikan pati jus daging biri-biri yang dipanggang sebagai bahan tambahan dalam sos berjaya menyempurnakan keenakan sos cendawan dan lada hitam meskipun sosnya agak cair.

Lebih menarik, hidangan daging gril ini juga terasa sempurna dan lazat kerana daging berkenaan diperap menggunakan resipi istimewa yang menggabungkan herba seperti rosemary, thyme, lada hitam, sos plum, asam boi dan tiga jenis kicap iaitu manis, pekat dan masin.

Beroperasi sejak Oktober 2016, restoran ini beroperasi setiap hari seawal jam 11 pagi hingga 12 tengah malam.

DAGING biri-biri yang diperap sempurna.
DAGING biri-biri yang diperap sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 1:04 AM