MENU masak lemak telur ikan yang unik dan lazat.
MENU masak lemak telur ikan yang unik dan lazat.
PULUT sambal ikan, jagung nyiur dan ubi kayu rebus antara hidangan pencuci mulut yang menjadi pilihan di Warung Aja.
PULUT sambal ikan, jagung nyiur dan ubi kayu rebus antara hidangan pencuci mulut yang menjadi pilihan di Warung Aja.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani


Lapan puluh jenis lauk-pauk dihidang­kan untuk pelanggan setiap hari!

Dalam mencari kelainan dan ‘mengikat’ selera pelanggan, kedai makan de­ngan nama komersialnya, Warung Aja tidak lokek menawarkan pelbagai jenis sajian yang mengundang rasa teruja kepada pelang­gan yang pertama kali berkunjung ke warung itu.

Walaupun penulis me­ngetahui kewujudan warung itu, tetapi tidak pernah berhajat untuk singgah sehingga dikhabarkan seorang teman, warung itu memiliki keistimewaan tersendiri dan ternyata ia benar.

Sebaik melewati meja hidangan, hamparan lauk-pauk dengan aroma yang membangkitkan selera pasti mengundang perasaan ingin tahu bagaimana pemiliknya mampu menyediakannya lauk sebanyak itu.

Pemiliknya, Nur Haza Mazlin Razali meng­gunakan 15 pekerja mahir dan 10 periuk untuk me­nyediakan sajian itu.

“Lauk-pauk memang banyak, tetapi saya masak dalam kuantiti yang sedikit...satu ‘tray’ untuk satu jenis lauk dan apabila habis saya akan gantikan dengan lauk lain,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Bukit Setongkol, Kuantan.

Konsep menukarkan lauk dilakukan bagi me­ngelak rasa jemu pelanggan.

“Selera pelanggan tidak sama, jadi saya lebih suka menyediakan puluhan jenis lauk yang mungkin menepati selera dan ternyata mereka suka kerana banyak pilihan,” katanya.

Antara menu pilihan pelanggan ialah ikan patin masak petai tempoyak, ikan puyu masak lemak cili api, ayam lemon, kambing bakar, seafood tauhu, ikan kerisi berlada, telur ikan masak lemak, pari stim asam mangga, ayam pandan dan ikan pekasam.

Sajian kampung turut disediakan termasuk gulai rebung, gulai pisang muda dan gulai jantung pisang selain sup bebola ikan, sosej berlada, ayam goreng lemon, ayam goreng nestum dan ayam butter cereal cheese serta lebih 15 jenis sayur goreng.

Katanya, hidangan ikan puyu masak lemak cili api sentiasa menjadi rebutan kerana kuantitinya sedikit iaitu 15 hingga 20 ekor saja setiap hari.

“Saya menggunakan campuran nanas, serai, halia, kunyit hidup, bawang kecil, belacan dan santan untuk menyediakan hidangan itu.

“Saya membakar ikan dahulu untuk menghilang­kan lendir,” katanya yang menjadikan arwah abangnya, Mazlan, sebagai pembakar semangat menceburi perniagaan itu.

Nur Haza yang juga mewarisi kepakaran ibu­nya, Norleha Abd Rahman, 64. memberi kepercayaan kepada pembantunya, Nor Khazlina Hamid, 20, me­nyediakan 11 jenis sambal termasuk sambal belacan mempelam, sambal belacan limau, sambal kicap yang dimakan bersama petai jeruk, jeruk maman, bawang jeruk dan ulam-ulaman hijau lain.

Sebagai hidangan pencuci mulut, Warung Aja me­nyediakan hidangan santai jagung nyiur (kelapa), ubi rebus, ubi goreng dan pulut sambal ikan yang dijual pada harga RM4 dan RM5 setiap hidangan.

“Ramai yang menggemarinya sama ada makan di sini atau dibungkus,” katanya.

Menurutnya, setiap Rabu gerai itu memberi bubur percuma kepada pelanggan.

“Kami menyediakan bubur lambuk seafood, bubur kacang hijau atau bubur pulut hitam,” katanya.

Lebih menarik, dia tidak mengenakan bayaran kepada mereka yang mengambil nasi tambah atau air kosong.

“Sejak dibuka lebih kurang enam tahun lalu, saya juga memberi keistimewaan kepada pelajar institusi pe­ngajian tinggi (IPT) yang memiliki kenderaan minuman percuma jika membawa rakan mereka makan di gerai itu.

“Ia sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang memperkenalkan rakan mereka kepada Warung Aja, alhamdulillah ia mendapat sambutan,” kata­nya.

Bagi mempromosikan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), Warung Aja turut memperkenalkan lapan pakej hidangan tengah hari pada harga RM4 setiap hida­ngan.

Antaranya ialah gabu­ngan nasi putih, udang sedang serta sayur, nasi putih, ikan goreng dan sayur, nasi putih, ayam goreng serta sayur, nasi putih, seafood tauhu, sayur dan nasi putih, sosej berlada serta sayur. Setiap sajian disertakan air minuman pilihan sama ada teh-0, teh-0 ais, kordial atau sirap.

Warung Aja dibuka setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 5 petang dan ramai pelang­gan Kelantan dan Terengganu datang setiap hujung minggu terutama Jumaat dan Sabtu.

“Warung ini berdepan Masjid Bukit Setongkol. Selesai solat Jumaat keadaan seperti ada majlis keramaian, kadang­kala terpaksa beratur untuk mengambil lauk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 9:22 AM