PEMAIN Johor DT Gary  Steven Robart (dua dari kiri) bersama pemain South China, Malisic Bojan (tiga dari kiri), Gomez (kanan) dan   Rambo  menunjukkan bola yang akan digunakan di perlawanan suku akhir kedua Piala AFC.
PEMAIN Johor DT Gary Steven Robart (dua dari kiri) bersama pemain South China, Malisic Bojan (tiga dari kiri), Gomez (kanan) dan Rambo menunjukkan bola yang akan digunakan di perlawanan suku akhir kedua Piala AFC.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Usah ulangi kesilapan lalu sebaliknya kena fokus sepanjang perlawanan sehingga tamat perlawanan.

Itu peringatan pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mario Gomez yang menuntut barisan pemainnya fokus tanpa membuat silap apabila berdepan South China AA pada aksi suku akhir kedua di Stadium Larkin, malam ini.

Walaupun kelebihan tampak memihak skuad Harimau Selatan selepas memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan apabila seri 1-1 dengan kelab dari Hong Kong itu namun Gomez tidak menganggap mereka sudah layak ke separuh akhir.

“Keputusan 1-1 penting bagi kami tapi masih belum berada dalam zon selamat untuk ke separuh akhir. Baki 90 minit ini cukup getir dan pemain harus menggandakan usaha memburu kemenangan.

“Konsentrasi sepanjang perlawanan amat penting tidak kira posisi pertahanan, tengah mahupun serangan kerana jika salah satu tidak beri tumpuan, kami mungkin dihukum.

“Untuk perlawanan itu nanti, tiada perubahan ketara kecuali posisi penjaga gol belum diputuskan sama ada Izham Tarmizi Roslan atau Farizal Marlias akan diturunkan,” katanya.

Justeru, Gomez mahukan pemain menampilkan aksi babak pertama ketika perlawanan di Stadium Mong Kok dengan menerapkan corak permainan agresif di setiap posisi.

“Dalam bola sepak ada ketika berlaku kesilapan kecil yang menyebabkan lawan mengambil kesempatan namun ia pengajaran buat kami dan tidak boleh diulangi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 9:22 AM