Pemain pasukan Negeri Sembilan ketika menjalani latihan menjelang saingan Liga Perdana yang lalu. FOTO Ihsan PBNS.
Pemain pasukan Negeri Sembilan ketika menjalani latihan menjelang saingan Liga Perdana yang lalu. FOTO Ihsan PBNS.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Minat jurulatih tempatan untuk membimbing skuad Negeri Sembilan (NS) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, dilihat amat menggalakkan apabila lima orang jurulatih hadir pada sesi temu duga, hari ini.

Mereka yang dilihat tampil pada sesi temu duga yang dijalankan di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di sini, adalah bekas pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim dan pengendali Petaling Jaya (PJ) City FC, K Devan.

Selain itu, bekas ketua jurulatih Felda United FC, Azmi Mohamed, bekas ketua jurulatih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, Sulaiman Hussin dan jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Azmi Aziz.

Baru-baru ini, Tunku Besar Tampin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, menjelaskan bahawa terdapat beberapa jurulatih tempatan yang disenarai pendek untuk dipilih sebagai pengendali Negeri Sembilan bagi musim depan.

Malah, beliau berkata, satu sesi temu duga akan diadakan sebelum keputusan muktamad dibuat bagi memilih jurulatih yang layak membimbing skuad Hobin Jang Hobin.

PBNS atau Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) dijangka akan mengumumkan nama jurulatih yang layak membimbing skuad Rusa itu, dalam masa terdekat.

Pada musim 2020, Negeri Sembilan menyandarkan harapan kepada Sazali Saidun selaku pembimbing pasukan itu dan menamatkan saingan Liga Perdana di tempat kedua terbawah carta, dengan mengumpul 11 mata daripada 11 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:10 PM