Javabilaarivin, kekal bersama NSFC musim 2024/2025. - Foto Ihsan NSFC.
Javabilaarivin, kekal bersama NSFC musim 2024/2025. - Foto Ihsan NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penyerang muda, N Javabilaarivin mendapat kepercayaan pihak pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila menjadi antara pemain terawal yang diumumkan kekal bersama skuad Negeri Sembilan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pemain berusia 22 tahun itu yang mesra dipanggil Java mula diserap dalam pasukan senior musim lalu, namun dia banyak beraksi bersama pasukan bawah 23 tahun dan berjaya menjaringkan dua gol dalam saingan Piala MFL.

Tampil cemerlang dalam skuad junior NSFC itu, Java kemudiannya dipinjamkan ke Imigresen FC, dan berjaya membantu pasukan terbabit muncul sebagai juara Liga M3 2023.

"Sepanjang Java bersama Imigresen, dia berjaya menjaringkan lima gol dan dua bantuan gol.

"Java antara pemain yang dikekalkan dalam pasukan ini dan kami berharap dia sudah bersedia untuk membantu NSFC mengharungi cabaran dalam saingan Liga M musim baharu ini," kata jurucakap NSFC.

Meskipun pengalamannya mengharungi cabaran Liga Super belum begitu tinggi, namun kehadiran Java hampir pasti dapat membantu memperkuatkan jentera serangan skuad Hobin Jang Hobin.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur akui pendedahan yang diterimanya sepanjang musim lalu adalah sangat berharga untuk dia memberikan sumbangan lebih baik kepada NSFC pada saingan Liga M akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, sehingga kini NSFC belum mengumumkan lagi nama ketua jurulatih pasukan itu bagi menggantikan K Devan.

Namun, terdapat yang desas desus di kalangan penyokong bahawa beberapa pengendali berpengalaman tempatan termasuk bekas pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz, bakal mengisi kerusi panas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 12:40 AM