SEAN berharap dapat bantu Negeri Sembilan menewaskan PDRM di Paroi, 25 November ini. -FOTO Ihsan FB NSFC.
SEAN berharap dapat bantu Negeri Sembilan menewaskan PDRM di Paroi, 25 November ini. -FOTO Ihsan FB NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Sean Eugene Selvaraj bersedia bertindak lebih agresif memperkasakan jentera serangan Negeri Sembilan FC (NSFC), dalam usaha membantu pasukan itu meraih kemenangan ke atas PDRM FC pada saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 25 November ini.

Penyerang berusia 25 tahun itu akui berada pada tahap prestasi terbaiknya ketika ini dan berazam untuk mengulangi persembahan cemerlang seperti mana dilakukan sebelum ini.

"Saya tidak dapat beraksi sepenuhnya pada sebahagian besar perlawanan Liga Malaysia sejak pertengahan musim ini kerana masalah kecederaan, tapi kini masalah itu sudah diatasi dan tahap kecergasan semakin baik.

"Saya mahu terus membuktikan kemampuan sebenarnya bagi membantu pasukan kembali menyinar dalam liga dan meraih kemenangan, apa lagi saingan Liga Super semakin menghampiri penghujung dan hanya berbaki tiga perlawanan," katanya.

Berbanding musim lalu, Sean yang setakat ini hanya menjaringkan satu gol ketika membantu skuad Hobin Jang Hobin menang 1-0 ke atas Kelantan United FC, pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di tempat lawan, bertekad untuk terus memainkan peranan berkesan jika mendapat kepercayaan ketua jurulatih K Devan.

Menurutnya, pertembungan dengan PDRM dijangka bukan mudah jika mengambil kira prestasi pasukan bimbingan Datuk Yunus Alif itu yang menewaskan Sri Pahang FC, baru-baru ini.

"PDRM dilihat mencapai prestasi kemuncak mereka selepas berjaya menewaskan Sri Pahang, jadi kami perlu berhati-hati dengan penguasaan mereka walaupun mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 1:38 PM