YATT Hamzah (kanan) bersama Abdul Mutalib pada April 2015. FOTO file NSTP Nur Adibah Ahmad Izam
YATT Hamzah (kanan) bersama Abdul Mutalib pada April 2015. FOTO file NSTP Nur Adibah Ahmad Izam
Oleh Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur: Suami kepada pelakon dan pengacara Yatt Hamzah, 35, iaitu Abd Mutalib Abdul Shukor, 35, mengesahkan mereka sudah bercerai di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Abd Mutalib ketika dihubungi berkata, dia melafazkan cerai talak satu di mahkamah berkenaan secara tertutup pada 4.23 petang semalam.

Menurutnya, mereka bercerai kerana tidak lagi sehaluan dan tidak ada persefahaman.

“Jalan terbaik adalah berpisah. Kami bercerai cara baik dan saya harap masyarakat mendoakan yang terbaik buat kami berdua untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Ia juga bertujuan untuk mengelakkan fitnah dan pandangan negatif masyarakat,” katanya.

Pasangan itu yang berkahwin pada 2009 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Suci Hanania Malika, 6.

Sebelum ini, Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah pernah memfailkan perceraian pada 24 Oktober tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini.

Bagaimanapun, sekembalinya dia dan Abd Mutalib dari misi kemanusiaan di Syria pada Mac lalu, Yatt menarik semula permohonan cerainya itu.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Yatt tidak berjaya kerana telefon bimbitnya tidak dijawab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 12:26 PM