YATT Hamzah.
YATT Hamzah.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon, Yatt Hamzah terharu dapat menjejakkan kaki ke Makkah selepas hampir tiga tahun walaupun ibadah umrah kali ini tanpa ditemani suami dan lima anaknya.

Yatt atau nama sebenarnya, Hayati Hamzah dalam satu hantaran di Instagram berkata, dia terpaksa meninggalkan anak kecilnya yang baru berusia tiga bulan dan masih menyusu badan.

Namun, dia menyerahkan kepada Allah SWT mengenai perkara itu.

"Ya Allah, aku tinggalkan anak-anakku di bawah pengawasan dan jagaan-Mu wahai Yang Maha Berkuasa. Buat pertama kalinya, aku terpaksa berpisah dengan anak-anak yang masih kecil.

"Mohon doa semua agar segala urusan dipermudahkan kerana hampir terlepas di lapangan terbang. Paling penting adalah sokongan dan reda suami tercinta sehingga tidak sempat berjumpa dan mencium tangannya.

"Suami saya berjuang bagi memastikan isterinya juga boleh menunaikan umrah semalam. Alhamdulillah selepas hampir tiga tahun, rindu terlalu rindu menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah, sehingga lidah kelu," katanya.

Menerusi coretan sama, Yatt turut berpesan kepada anak sulungnya, Hanania untuk sentiasa menjaga adik-adiknya.

Begitu juga kepada anak yang lain supaya mereka mendengar kata-kata bapa dan kakak mereka.

Dalam ruangan komen, rata-rata pengikut Yatt mendoakan agar urusannya menunaikan umrah berseorangan dipermudahkan Allah.

Yatt mendirikan rumah tangga dengan juruvideo, Mohamad Zulfahdli Khairuddin pada Februari 2016 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Suci Humaira Iqima, 5; Suci Hayfa Medina, 3; dan Suci Hawa Zulaikha yang kini berusia setahun.

Pelakon berusia 40 tahun ini juga mempunyai seorang lagi anak, Suci Hanania Malika, 9, hasil perkahwinan pertamanya dengan Abdul Mutalib Shukor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 3:39 PM