YATT Hamzah di majlis pelancaran pada 8 Mei lalu. FOTO file NSTP Rohanis Shukri.
YATT Hamzah di majlis pelancaran pada 8 Mei lalu. FOTO file NSTP Rohanis Shukri.
Oleh Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur: "Sudah tertulis jodoh kami setakat ini saja dan jika ini yang terbaik, saya reda,” kata pelakon dan pengacara,Yatt Hamzah, 35, yang sah bercerai talak satu dengan suaminya, Abd Mutalib Abdul Shukor, 35.

Pasangan itu bercerai di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, 4.35 petang, semalam.

Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah ketika dihubungi berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira banyak perkara dan demi kebaikan bersama.

“Pasangan mana mahu berpisah tetapi apakan daya jodoh kami sampai di sini saja.

"Meskipun sudah bercerai, kami tidak bersengketa dan tidak berdendam," katanya.

Yatt turut menafikan perpisahan itu berpunca kerana orang ketiga.

"Saya tidak akan mendedahkan punca sebenar perpisahan.

"Kami sudah cuba yang terbaik menyelamatkan perkahwinan,” katanya.

Pengusaha butik muslimah ini menegaskan bersedia memulakan hidup baru bersama anaknya, Suci Hanania Malika, 6.

"Anak tinggal bersama saya dan tiada halangan untuk Talib berjumpa Hanania pada bila-bila masa.

"Apabila hidup sendiri, saya kena lebih berdikari tanpa mengharapkan bantuan bekas suami termasuk menguruskan butik.

“Sepanjang September dan Oktober ini jadual saya sangat padat,” katanya yang bernikah dengan Mutalib pada Ogos 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 6:49 PM