GOMEZ (kanan) kekal teraju Johor DT musim depan.
GOMEZ (kanan) kekal teraju Johor DT musim depan.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemilik Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kejayaan merangkul hatrik kejuaraan Liga Super paling istimewa apabila perancangan rapi musim 2015 membuahkan hasil.

Tunku Ismail berkata, selepas muncul juara dua musim berturut-turut pada 2015, beliau membuat perancangan rapi bersama pengurusan kelab untuk mengulangi pencapaian itu.

“Keinginan untuk menjadi juara tiga tahun berturut-turut menjadi agenda utama kami dan saya bersyukur kerana usaha itu menjadi kenyataan.

“Kami menang Liga Super pada 2014 di bawah bimbingan Bojan Hodak dan kemudian menjuarai Piala Sumbangsih pada 2015, namun khidmat beliau tidak disambung sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Johor DT dan juga luar.

“Jadi hari ini saya tidak perlu beri penjelasan kenapa khidmat Hodak ditamatkan selepas jurulatih sekarang, Mario Gomez sudah membuktikan kredibilitinya.

“Tiada siapa yang mencadangkan Gomez menjadi jurulatih, sebaliknya tergerak hati saya untuk berjumpa beliau selepas saya melihatnya membimbing South China ketika menewaskan Pahang dalam saingan Piala AFC. Saya meminta ejen saya iaitu Martin untuk mengadakan perjumpaan dengan Gomez di Argentina,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata, perjumpaan seterusnya bersama Gomez lebih terperinci apabila membabitkan perancangan serta visi kelab berkenaan.

“Kami tidak berdepan masalah bekerjasama kerana memiliki falsafah yang sama iaitu untuk memajukan bola sepak Johor DT,” katanya.

“Gomez kekal untuk membimbing Johor DT musim depan kerana membabitkan perancangan jangka panjang. Pada musim depan empat pemain import, Jorge Pereyra Diaz, Juan Martin Lucero, Marcos Antonio dan Hariss Harun juga akan kekal beraksi untuk kami.”

Bagi meningkatkan kualiti skuad itu, Tunku Ismail mengumumkan barisan pemain dan kejurulatihan kelab berkenaan akan mengadakan siri perlawanan persahabatan di Sepanyol selepas berakhirnya saingan Liga Super dan Piala AFC.

“Pemain dan kejurulatihan Johor DT akan dibawa ke Sepanyol untuk perlawanan persahabatan pramusim menentang dua kelab La Liga Valencia CF dan Atletico Madrid. Malah kelab Thailand Buriram United juga menjemput kami untuk mengadakan aksi persahabatan selain wujudnya kerjasama dengan kelab itu,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 5:09 AM