PEMAIN ATM ceria pada majlis  memperkenalkan pasukan.
PEMAIN ATM ceria pada majlis memperkenalkan pasukan.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan menegaskan kelemahan musim lalu yang menyaksikan pasukan berkenaan ‘lemas’ dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sudah diatasi dengan kehadiran sejumlah pemain baru.

Katanya, pada musim lalu The Gladiators terlalu bergantung kepada Marlon Alex James untuk meledak jaringan dan kecederaan penyerang veteran berkenaan mencetuskan masalah.

“Musim ini kami lebih arif dan pandai memilih pemain. Kita tidak lagi bergantung kepada 11 pemain, saya mempunyai 25 yang boleh diharapkan sekiranya berlaku kecederaan. Ini situasi berbeza apabila beberapa pemain mengalami kecederaan musim lalu hingga mencetuskan kesukaran,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jersi pasukan semalam.

Menurutnya kali ini, ATM tidak akan bergantung kepada Jerry Palacios saja untuk menjaringkan gol kerana mempunyai Norshahrul Idlan Talaha, Hairuddin Omar, Abdulafees Abdulsalam, Christie Jayaseelan, Obinna Nwameri serta Mario Karlovic yang mampu membawa dimensi berbeza kepada corak permainan mereka.

ATM meletakkan sasaran meraih sekurang-kurang satu piala musim ini dengan bekas pengendali skuad kebangsaan berkenaan melihatnya sebagai sesuatu yang relevan.

The Gladiators membawa masuk 11 muka baru termasuk empat import bagi menguatkan cabaran selepas berada di kedudukan ke-10 Liga Super musim lalu selain kecundang peringkat kumpulan Piala FA dan Piala Malaysia.

Sementara itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap impian meraih salah satu piala Liga-M mampu direalisasikan dan disahut dengan penuh semangat dan keyakinan.

“Saya percaya untuk berjaya dalam sebarang jenis sukan dan aktiviti fizikal yang bersifat pertandingan, terdapat tiga perkara iaitu kekuatan fizikal dan ketahanan mental, keupayaan dan kelicikan strategi serta disiplin.

“Pada peringkat pengurusan saya akan cuba memastikan segala keperluan dan kebajikan pemain serta penggerak pasukan bola sepak ATM akan dijaga dan dipenuhi dengan baik. Tidak dinafikan aspek ini adalah penting dan kritikal,” katanya.

ATM akan memulakan saingan Liga Super menentang Kelantan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:20 AM