Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Khalid Ali menjangkakan Pahang mampu menjulang kejuaraan Liga Super buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun biarpun bakal mengharungi baki dua perlawanan mencabar, menentang FELDA United dan Terengganu.

Pahang kembali merampas teraju liga Sabtu lalu daripada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) selepas seri 1-1 dengan Perak untuk mengumpul 43 mata.

Walaupun berkongsi mata, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu memiliki kelebihan jaringan 40 gol berbanding Johor DT (31), namun kedudukan itu belum selamat buat mereka kerana perlawanan seterusnya bakal menjadi penentu.

Ada yang menganggap Pahang juara liga 2004 sengaja memilih jalan sukar apabila hanya mengutip satu mata sewaktu menentang Perak ketika skuad Harimau Selatan kendalian Mario Gomez dikejutkan dengan kekalahan 1-4 di tangan Kelantan.

Untuk dinobatkan juara bukan mudah bagi skuad Tok Gajah kerana mereka perlu mengatasi pasukan di tangga keempat FELDA United dan Terengganu (kelima) yang masih bersaing untuk memburu kedudukan ketiga liga.

Sedangkan Johor DT hanya akan melayan kunjungan Perak dan FELDA United pada perlawanan terakhir.

“Pada mulanya saya melihat Johor DT mempunyai peluang juara, tapi selepas kekalahan besar 1-4 kepada Kelantan, mereka bukan saja kehilangan mata, tapi perlu menangani krisis moral pemain untuk bangkit semula.

“Pahang pula pada saya tidak berdepan masalah mengutip mata penuh berdepan FELDA United dan Terengganu. Mereka pasukan berpengalaman dan ini peluang terbaik yang tidak harus dipersiakan jika mahu bergelar juara,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Melihat kepada rekod pertemuan pusingan pertama liga, Pahang berjaya menewaskan FELDA United 1-0 dan Terengganu 3-2, namun Johor DT tumpas 1-2 kepada Perak serta menang 1-0 ke atas FELDA United.

Justeru, Khalid menjangkakan Perak sekali lagi mampu menjadi pengacau buat Johor DT selain FELDA United kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang bukan mudah dijinakkan di laman sendiri.

“Saya suka melihat permainan Johor DT yang nampak menarik cuma kekalahan besar kepada Kelantan cukup mengejutkan. Johor DT juga perlu berhati-hati dengan Perak selepas dikendalikan Abu Bakar Fadzim yang mempamerkan sedikit peningkatan dan buktinya mereka berjaya mengikat Pahang.

“Apapun segala-galanya terserah kepada aksi Pahang dan Johor DT untuk menentukan kejuaraan dan yang pasti saingan kali ini cukup menarik dan mendebarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 9:03 AM