FELDA United tidak perlu lagi menyewa  Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang utama.
FELDA United tidak perlu lagi menyewa Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang utama.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: FELDA United akan mendapat semangat baru untuk mengharungi Liga Malaysia 2016 apabila bakal menggunakan stadium sendiri yang sudah siap dibina di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Pahang.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Kelab Bolasepak FELDA United Zulkarnain Muhammad yang menyatakan pihaknya kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjadikan stadium bernilai RM87.9 juta itu sebagai gelanggang mereka bermula musim ini.

“FAM sudah melakukan pemeriksaan ke atas stadium itu sebelum ini dan mereka berpuas hati. Cuma kami masih menanti kebenaran secara hitam putih FAM.

“Saya percaya stadium sendiri ini akan memudahkan penyokong FELDA United dari 30 tanah rancangan di sekitar stadium untuk datang memberikan sokongan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Skuad Liga Super FELDA United yang dikendalikan Irfan Bakti Abu Salim terpaksa berkongsi gelanggang dengan pasukan lain sebelum ini dengan menyewa Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Stadium yang memiliki kapasiti 20,000 penonton mula dibina pada April 2013 bakal menjadi gelanggang termoden di Malaysia dengan mengikut spesifikasi Eropah.

Zulkarnain berkata, walaupun padang di stadium itu menggunakan rumput tiruan beliau tidak menganggapnya kelebihan besar buat skuad The Fighters.

“Bermain di laman sendiri pasti akan memberi sedikit kelebihan buat FELDA. Tapi, kalau nak cakap akan memberi laluan mudah untuk kami jadi juara, saya fikir tidak kerana pasukan Singapura, LionsXII turut guna padang rumput tiruan dan mereka juga ada menang dan kalah,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kuota dua lagi pemain import FELDA United, beliau mengesahkan pihak pengurusan akan mengumumkan secara rasmi esok.

Namun, Zulkarnain enggan mendedahkan identiti pemain berkenaan, tapi berdasarkan maklumat, pemain pertahanan dari Uzbekistan dan penyerang Brazil menjadi pilihan FELDA United.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:11 AM