Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap satu kerugian kepada arena sukan negara jika Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak dipilih sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Norza, 49, yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) akan bertanding menentang penyandang jawatan, Tan Sri Mohammad Noor Abdul Rahim dalam sesi pemilihan hari ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Norza yang sudah 12 bulan menggalas tugas sebagai bendahari badan induk bola sepak negara itu dilihat sebagai seorang pemimpin muda berkaliber dan tidak gemar mencetuskan masalah atau kontroversi.

“Sebagai mewakili FAM, saya berharap Norza terpilih untuk memenangi kerusi Timbalan Presiden MOM pada pemilihan esok (hari ini). Saya beranggapan satu kerugian besar jika beliau tidak dipilih.

“Sepanjang bekerja dengan Norza sejak beliau memegang jawatan bendahari FAM, beliau seorang yang cukup disenangi semua di FAM dan kita dapat lihat beliau bukan seorang pemimpin suka membuat kecoh atau masalah.

“Muda dan berkaliber, itu yang saya nampak kelebihan pada Norza,” kata Hamidin.

Tambah Hamidin, Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut memberikan sokongan penuh kepada Norza untuk menjadi Timbalan Presiden MOM dan yakin kemenangan akan berpihak kepadanya berdasarkan reputasi dimilikinya.

“Adalah lebih baik memilih individu yang ada banyak jawatan selain terbukti cukup komited dalam melaksanakan tugasnya berbanding individu yang ada sedikit jawatan tetapi itu pun mereka gagal melaksanakannya dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:06 AM